KUALA LUMPUR 20 Sept - Mycron Steel Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengeluar keluli Jepun, JFE Steel Corporation bagi memacu penggunaan rumusan keluli hijau di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mycron Steel, Roshan Mahendran Abdullah berkata MoU itu menandakan perjalanan syarikat ke dalam revolusi keluli hijau baharu.
"Kami berada di permulaan perjalanan ini. Pada masa ini, ia hanya akan membentuk peratusan kecil daripada keseluruhan pengeluaran kami, tetapi kami yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, permintaan untuk keluli hijau akan meningkat dua setengah kali ganda daripada apa yang ia sekarang.
"Menjelang 2030, keluli hijau boleh menyumbang sehingga 25 peratus daripada jumlah keseluruhan keluli global," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU di sini hari ini.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Roshan Mahendran berkata Mycron merancang untuk melancarkan produk keluli hijaunya yang dipatenkan sendiri, menggunakan pendekatan pengimbangan jisim yang sama, menjelang tahun depan.
Produk keluli hijau yang dipatenkan ini direka untuk industri dengan aplikasi yang lebih tinggi, di mana pengguna akhir sanggup membayar premium untuk mengurangkan jejak karbon mereka.
Dalam satu kenyataan berasingan, Mycron Steel berkata ia akan menyepadukan keluli hijau JGreeXTM JFE Steel ke dalam proses pengeluarannya.
Keluli hijau JGreeXTM menggunakan pendekatan pengimbangan jisim untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dengan ketara merentasi keseluruhan rantaian pengeluaran keluli, memperuntukkan pengurangan pelepasan ini kepada produk tertentu.
Kaedah pengimbangan jisim ini mematuhi garis panduan Persekutuan Besi dan Keluli Jepun, memastikan bahawa faedah alam sekitar dikira dengan tepat dan disahkan oleh organisasi bebas ClassNK.
Mycron berkata MoU itu juga akan memberi tumpuan kepada membangunkan pasaran keluli hijau di Malaysia dan meneroka kemajuan selanjutnya dalam pengeluaran keluli mampan.
Mengulas mengenai industri keluli, yang telah terjejas oleh permintaan rendah bagi keluli di China, Rosham Mahendran berkata bahawa kemasukan keluli China telah membanjiri pasaran global.
"Ia pastinya telah menjejaskan sentimen global, bukan sahaja di Malaysia, dan melembapkan permintaan keluli. Apabila terdapat lebihan bekalan, pelanggan cenderung untuk lebih berhati-hati semasa membeli.
"Jadi, kami berhubung rapat dengan kerajaan, terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Saya percaya kami telah menguruskan lebihan keluli dari China," katanya. - DagangNews.com