Northern Solar meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities, bakal disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Northern Solar meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities, bakal disenaraikan di Pasaran ACE

Gambar dari laman web rasmi Northern Solar
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Northern Solar Holdings Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Firma tenaga solar itu berkata, IPO yang dijadualkan pada Februari 2025 itu melibatkan terbitan awam sebanyak 67.3 juta saham baharu dan penjualan 35.6 juta saham sedia ada. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian itu menawarkan pelabur sehingga 26% saham dalam syarikat itu.

 

Di bawah terbitan awam IPO, Northern Solar akan menyediakan 19.78 juta saham kepada orang ramai dan 7.91 juta saham kepada orang yang layak. 

 

Baki 39.6 juta saham baharu akan diserahkan kepada pelabur Bumiputera.

 

Pengarah Urusan Northern Solar, Lew Shoong Kai menekankan peranan IPO dalam meningkatkan modal kerja syarikat bagi mendapatkan kontrak EPCC yang lebih besar. 

 

"IPO ini akan membolehkan syarikat mengembangkan portfolio dan memenuhi permintaan sistem PV solar yang semakin meningkat," katanya.

 

Northern Solar adalah pakar dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovoltaik (PV), penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) serta perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan.

 

Syarikat itu memiliki dan mengendalikan 10 sistem solar PV, dan empat lagi system solar PV itu dibawah 20% syarikat miliknya, Engtex Energy Sdn Bhd. 

 

Pembuat paip dan injap Engtex Group Bhd memiliki 80% Engtex Energy.

 

Northern Solar juga telah memperuntukkan sebahagian daripada hasil IPO bagi membayar balik pinjaman banknya, menubuhkan pejabat korporat dan pusat arahan, serta mengembangkan pejabat sedia ada dan menubuhkan pejabat baharu.

 

Dari FY22 hingga FY24, hasil Northern Solar melonjak daripada RM22.2 juta kepada RM78 juta dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) dua tahun sebanyak 51.9%. 

 

Keuntungan selepas cukai juga melonjak daripada RM3.1 juta kepada RM10.1 juta, menandakan CAGR sebanyak 48%.

 

Sementara itu, tawaran jualan saham akan dilakukan melalui penempatan persendirian untuk memilih pelabur.

 

Hasil daripada penjualan saham sedia ada akan diperuntukkan sepenuhnya kepada pemegang saham jualan iaitu Shoong Kai dan Pengarah Eksekutif, Edward Chew yang masing-masing akan mengurangkan pegangan mereka kepada 30.8%.

 

M & A Securities adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com