JOHOR BAHRU 26 Nov - Syarikat usaha sama antara Kumpulan MMC, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan APM Terminals, berjaya menyempurnakan operasi pembekalan metanol pertama yang melibatkan kapal kontena berkuasa dwi-bahan api daripada Maersk.
Kapal kontena tersebut, yang diberi nama Antonia Maersk, merupakan kapal ketiga daripada 18 kapal kontena generasi baharu berkuasa dwi-bahan api yang dimiliki oleh syarikat gergasi perkapalan dari Denmark itu, yang mampu beroperasi menggunakan bahan api metanol.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, operasi pembekalan metanol dari kapal ke kapal kontena tersebut merupakan kejayaan terbaharu PTP kerana ia pertama kali dilakukan di pelabuhan tersebut.
"Kejayaan operasi ini adalah langkah penting dalam misi PTP untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pelabuhan pilihan utama di rantau ini.
"Ia menunjukkan kesediaan dan keupayaan PTP untuk mengendalikan operasi yang melibatkan bahan api alternatif marin dan membuka jalan sebagai perintis penyelesaian bahan api alternatif yang pelbagai," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman, turut memuji kerjasama antara PTP, Maersk dan kerajaan Malaysia, yang berjaya menetapkan piawaian jelas dalam operasi, terutamanya dalam memudahkan perkongsian pengetahuan, pembangunan infrastruktur dan keupayaan pembekalan bahan api alternatif tersebut.
"Sebagai persediaan untuk operasi pembekalan metanol ini, PTP bekerjasama rapat dengan Maersk, Maersk Oil Trading, Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Pelabuhan Johor dan pelbagai agensi kerajaan.
"Bersama-sama, kami menjalankan latihan dan sesi bengkel, mewujudkan prosedur keselamatan yang ketat melalui penilaian operasi dan risiko yang komprehensif, pemodelan dan pengesahan yang membawa kepada latihan penempatan," katanya.
Tahun ini, PTP berjaya mencipta rekod operasi baharu yang luar biasa apabila mencatatkan kendalian lebih satu juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) kontena selama enam bulan berturut-turut, bermula dari Mei hingga Oktober 2024.
Selain itu, pada 22 September 2024, PTP turut mengatasi rekodnya sendiri dengan mengendalikan sebanyak 14,036 pergerakan kontena dalam satu syif 12 jam.
PTP juga diiktiraf sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) terkini 2023.
PTP kini turut berada di kedudukan ke-15 antara pelabuhan paling sibuk di dunia. - DagangNews.com