PayNet, AWS rai kohort pertama 50 graduan selamat jalani kursus kemahiran awan diiktiraf global | DagangNews Skip to main content

PayNet, AWS rai kohort pertama 50 graduan selamat jalani kursus kemahiran awan diiktiraf global

Program Akar powered by AWS re/Start mampu melengkapkan pemimpin masa hadapan dengan kemahiran awan yang diiktiraf di peringkat global untuk Industri Perkhidmatan Kewangan Malaysia.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Nov - Payments Network Malaysia (PayNet) dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS), pada Rabu meraikan kohort pertama Program Akar powered by AWS re/Start, sebuah inisiatif pertama dalam industri yang bertujuan melengkapkan pemimpin masa hadapan dengan kemahiran awan yang diiktiraf di peringkat global untuk Industri Perkhidmatan Kewangan (FSI) Malaysia.

 

Program berkenaan berjaya melatih 50 pelajar pertama pada Julai 2024 dengan Pensijilan AWS Cloud Practitioner yang diiktiraf industri, latihan dalam pembayaran digital, laluan kerjaya yang berfokus dan bimbingan untuk mendapatkan jawatan tetap di syarikat sasaran mereka. 

 

Selepas tamat pengajian, program itu akan memulakan kohort seterusnya pada suku pertama 2025.

 

Kejayaan kohort pertamanya dicapai hasil daripada usaha kolaboratif setiap rakan kerjasama yang terlibat seperti World Education Placement Services (WEPS) yang memastikan kurikulum terkini bagi memenuhi keperluan organisasi FSI dan menyokong pelajar dalam mendapatkan peluang latihan industri dan penempatan kerja serta Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) yang menyediakan 50 pelajar pertama.

 

Organisasi FSI seperti PayNet, Bank Negara Malaysia, Maybank, Public Bank, Hong Leong Bank, GHL dan Bank Islam menawarkan pembelajaran secara pengalaman melalui latihan industri kepada pelajar. 

 

Peluang itu membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh daripada program semasa latihan mereka, di samping menerima maklum balas berharga daripada jurulatih dan mentor industri.

 

Seiring dengan aspirasi program untuk FSI Malaysia, acara tersebut turut menganjurkan sesi forum bertajuk Future-Proofing the Industry: Values-Based Early Talent Development of Visionary Leaders. 

 

Pengarah Kanan PayNet Akar, Jun Maria Tan Abdullah berkata, program itu dapat direalisasikan melalui usaha kolektif semua pihak terlibat bagi mempersiapkan bakat untuk pelbagai jawatan dalam pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, sains data dan keselamatan siber. 

 

"Kemahiran teknikal semata-mata tidak mencukupi. Sifat-sifat seperti aspirasi, ketangkasan, pengurusan diri dan kemahiran membina hubungan adalah sama penting. Pendekatan holistik ini akan memupuk dan memperkasakan bakat untuk menjadi pemimpin dalam ekonomi digital global," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengurus Besar AWS Malaysia, Pete Murray menyifatkan pencapaian luar biasa graduan program tersebut sebagai melambangkan komitmen bersama dalam memupuk bakat tempatan dan memacu transformasi digital di Malaysia. 

 

"Para graduan ini bukan sahaja memperoleh kemahiran pengkomputeran awan yang berharga, tetapi juga telah meletakkan diri mereka di barisan hadapan ekonomi digital dan mewakili tenaga kerja masa depan. 

 

"Ketika individu berbakat ini memulakan kerjaya mereka dalam perkhidmatan kewangan, kami yakin mereka akan memainkan peranan penting dalam membentuk landskap teknologi kewangan Malaysia," jelasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif WEPS, Mughilen Rathakrishnan pula berkata, keperluan untuk profesional digital yang berkemahiran semakin kritikal seiring dengan transformasi digital yang semakin pesat merentasi pelbagai sektor. 

 

"Gelombang bakat baharu ini bukan sahaja bersedia untuk memenuhi keperluan masa kini, tetapi juga membentuk masa depan, memupuk inovasi dan keupayaan menyesuaikan diri dalam dunia yang dipacu teknologi. 

 

"Di WEPS, kami berbangga menyokong peralihan ini dan memperkasa tenaga kerja yang bersedia untuk memacu ekonomi digital Malaysia," katanya.

 

Program Akar powered by AWS re/Start merupakan inisiatif di bawah PayNet Akar, yang direka sebagai platform asas untuk pendidikan dan inovasi teknologi kewangan, dengan fokus semasa pada pelajar dalam sistem pendidikan di peringkat K-12 dan institusi pengajian tinggi. 

 

AWS re/Start beroperasi di lebih daripada 180 bandar di 60 negara, menghubungkan lebih 98% graduan dengan peluang temu duga pekerjaan. 

 

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan AWS untuk menyediakan latihan awan secara percuma dan telah mencapai lebih 31 juta pelajar di lebih 200 negara dan wilayah. 

 

Di Malaysia sahaja, AWS telah melatih lebih 100,000 individu dalam kemahiran awan sejak 2017. - DagangNews.com