Untung bersih UOA Development jatuh 5.2% kepada RM48.34 juta pada 3QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih UOA Development jatuh 5.2% kepada RM48.34 juta pada 3QFY24

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Keuntungan bersih UOA Development Bhd bagi tiga bulan berakhir 30 September 2024 (3QFY24) turun 5.2% kepada RM48.34 juta, berbanding RM50.86 juta setahun lalu, walaupun pendapatannya melonjak 32%. 

 

Hasil suku pemaju hartanah tersebut meningkat kepada RM141.36 juta daripada RM107.04 juta pada suku yang sama tahun lepas .

 

UOA tidak mengisytiharkan dividen bagi suku itu.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, UOA berkata, prestasi hasilnya didorong oleh pengiktirafan progresif daripada projek pembangunan berterusan kumpulan itu, iaitu Aster Hill, Laurel Residence, serta pusat perubatan di Bangsar South.

 

"Jumlah perbelanjaannya pada suku dalam tersbut berjumlah RM73.2 juta, termasuk perbelanjaan pentadbiran dan am sebanyak RM52 juta.

 

"Di samping itu, jumlah jualan belum dibil kumpulan itu pada 30 September 2024 berjumlah kira-kira RM502.2 juta dan kami merancang untuk  meneroka tanah pembangunan strategik bagi memenuhi objektif syarikat.

 

"Selain itu, jumlah jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 30 September 2024 adalah kira-kira RM789.5 juta," kata UOB. 

 

Katanya, jualan hartanah itu kebanyakannya daripada Bamboo Hills Residences, Aster Hill, Duo Tower dan Laurel Residence.

 

Bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2024 (9MFY24), keuntungan bersih UOA hampir tidak berubah pada RM159.09 juta, berbanding RM160.8 juta setahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, hasilnya mencecah RM310.83 juta, berbanding RM290.38 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas (9MFY2023).- DagangNews.com