KUALA LUMPUR 2 Okt - Pengeluar produk bakeri yang berpangkalan di Johor, SDS Group Bhd dijangka mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang didorong peningkatan permintaan selain ringgit yang lebih kukuh yang boleh meningkatkan margin keuntungan, kata Tradeview Research.
SDS memperoleh lebih banyak bahagian pasaran disebabkan harganya yang kompetitif, pengembangan armadanya untuk meningkatkan jangkauan serantau dan lebih banyak ruang rak dan keterlihatan untuk produk sedia untuk dimakannya dalam rantaian runcit, kata Tradeview yang memulakan liputan terhadap saham itu.
"Ringgit yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga menunjukkan arah yang menggalakkan untuk SDS.
"Memandangkan banyak bahan mentah diimport, ringgit yang lebih kukuh mengurangkan kos bahan, membawa kepada margin keuntungan yang lebih baik," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
Tradeview, merupakan satu-satunya syarikat penyelidikan yang kini membuat liputan terhadap SDS dengan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.67 sesaham.
SDS menjual barangan bakeri di seluruh Semenanjung Malaysia di bawah jenama "Top Baker" dan "Daily's" serta kedai "S.D.S".
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang untuk menambah 20 lagi trak pada FY25 bagi meningkatkan kapasiti pengedaran dan meningkatkan hasil bagi segmen borong yang menyumbang dua pertiga daripada jumlah hasil pada FY24.
Dalam ruang runcit, Tradeview mengambil kira sasaran SDS untuk membuka sehingga lima cawangan baharu, menggabungkan konsep kafe dan bakeri pada FY25, di samping 39 kedai sedia ada.
"Pelancong Singapura menjadi pemacu kritikal untuk segmen ini, terutamanya dengan kebanyakan kedai di Johor, yang telah menyaksikan lonjakan pendapatan selepas wabak,” katanya.
Keuntungan bersih SDS bagi tiga bulan berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) melonjak 80.71% kepada RM8.94 juta daripada RM4.95 juta setahun sebelumnya, hasil daripada segmen borong yang lebih tinggi. Hasil meningkat 16.47% tahun ke tahun kepada RM83.01 juta daripada RM71.27 juta.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24), keuntungan bersih kumpulan meningkat 32.7% kepada RM32.55 juta daripada RM24.53 juta pada FY23. Hasil meningkat 14.24% kepada RM324.06 juta berbanding RM283.67 juta. Ia mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 1.65 sen sesaham untuk FY24. - DagangNews.com