Peningkatan perbelanjaan domestik, perkembangan aktiviti pelancongan beri manfaat kepada Pavilion REIT - CGS International | DagangNews Skip to main content

Peningkatan perbelanjaan domestik, perkembangan aktiviti pelancongan beri manfaat kepada Pavilion REIT - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Peningkatan perbelanjaan domestik serta perkembangan aktiviti pelancongan dijangka memberi manfaat kepada Pavilion REIT, kata CGS International.

 

Katanya, keadaan itu akan mendorong peningkatan jumlah kehadiran pelanggan dan jualan penyewa, sekali gus meningkatkan pertumbuhan hasil sewanya pada masa hadapan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek pertumbuhan yang kukuh juga memberikan sokongan kepada pengembalian sewa dengan peningkatan dalam kadar sewa antara 4% hingga 6% bagi FY24.

 

CGS International berkata, kami juga melihat ruang pertumbuhan untuk Pavilion Bukit Jalil dalam tempoh tiga tahun akan datang kerana ia dilihat kekal dalam fasa pertumbuhan pantas.

 

"Sasaran pengurusan untuk kadar penghunian pusat beli-belah mencapai kadar 90% pada suku keempat 2024 adalah dalam di dalam jangkauan.

 

"Kami mengunjurkan pusat beli-belah itu seterusnya meningkatkan kadar penghunian kepada 95% menjelang akhir 2026. Ini menjadikan sebahagian besar pertumbuhan pendapatan REIT dalam FY24-FY26," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, Pavilion REIT juga mempunyai beberapa rancangan pengambilalihan pada masa dapan masa depan yang menyediakan pertumbuhan bukan organik yang berterusan dalam jangka pendek hingga sederhana.

 

Katanya, potensi sasaran pemerolehan mungkin termasuk Pavilion Damansara Heights Mall dan pusat beli-belah Fahrenheit88.

 

"Walaupun masih tidak jelas mengenai potensi penilaian untuk kedua-dua pusat beli-belah itu, namun kami percaya hasil NPI minimum sebanyak 6% diperlukan untuk aset tersebut bagi menjana hasil.

 

"Pavilion Bukit Jalil disuntik pada sasaran hasil NPI sebanyak 6.6% yang datang dengan pendapatan terjamin minimum," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Pavilion REIT kerana prestasi FY24-FY26 yang kukuh disokong kadar penghunian lebih baik dan pertumbuhan sewa yang konsisten.

 

Katanya, ia juga mempunyai pemangkin penarafan semula yang berpotensi termasuk jualan penyewa yang lebih kukuh daripada jangkaan, pemerolehan aset baharu, pemulihan yang lebih cepat dan penerimaan pelancong. 

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'tambah' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.78 sesaham," katanya.- DagangNews.com