Cuckoo Malaysia failkan IPO Pasaran Utama, kumpul dana bagi pengembangan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Cuckoo Malaysia failkan IPO Pasaran Utama, kumpul dana bagi pengembangan perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Cuckoo International (MAL) Bhd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk pengembangan perniagaan.

 

Menurut draf prospektusnya, IPO yang dicadangkan itu melibatkan tawaran penjualan saham sedia ada dan terbitan awam saham baharu pada harga yang akan ditentukan kemudian.

 

Penyenaraian itu akan menawarkan sehingga 25.5% pegangan dalam syarikat itu.

 

"Pertumbuhan perniagaan penyewaan kami bergantung kepada ketersediaan aliran tunai untuk membiayai pembelian awal produk.

 

"Kami berhasrat untuk memperuntukkan hasil yang diperolehi bagi membiayai pembelian awal produk untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rancangan sewa di Malaysia," kata kumpulan itu, hari ini.

 

Cuckoo Homesys Co Ltd yang tersenarai di Korea Selatan dan kebanyakannya terkenal dengan periuk nasinya, kini menguasai 63% dalam Cuckoo International dan juga membekalkan anak syarikat Malaysia dengan produknya.

 

Cuckoo International turut bekerjasama dengan Lee Swee Kiat Group Bhd untuk membuat tilam, Fujiaire untuk penghawa dingin, dan Ogawa untuk kerusi urut. 

 

Pada tahun lalu, Cuckoo International memperoleh RM86.87 juta untung bersih daripada RM1 bilion hasil.

 

Hasil daripada terbitan awam sebanyak 143.28 juta saham juga akan digunakan untuk membayar sebahagian pinjaman bank, membiayai pengembangan rangkaian kedai runcitnya, dan membiayai pertumbuhan operasi Singapuranya. Selebihnya akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Sementara itu, sebarang dana yang diperoleh daripada tawaran penjualan 222.08 juta saham sedia ada akan terakru sepenuhnya kepada sekumpulan pemegang saham Korea Selatan dan Malaysia termasuk ketua pegawai eksekutif Cuckoo International Hoe Kian Choon dan isterinya Mak Foong Ling.

 

RHB Investment merupakan penasihat utama tunggal dan penaja jamin pengurusan serta penyelaras global bersama, pengumpul buku dan penaja jamin dengan AmInvestment Bank. - DagangNews.com