Tempahan sportscar MG Cyberster dibuka di Malaysia pada harga anggaran RM350,000 | DagangNews Skip to main content

Tempahan sportscar MG Cyberster dibuka di Malaysia pada harga anggaran RM350,000

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Okt - SAIC Motor Malaysia mengumumkan, tempahan kini dibuka untuk MG Cyberster, roadster elektrik pertama bagi jenama MG, dengan anggaran harga di bawah RM350,000. 

 

Cyberster yang menampilkan reka bentuk pintu ikonik, akan membuat penampilan umum di Auto Car Expo (ACE) 2024.

 

MG Cyberster hadir dalam satu varian dengan prestasi hebat iaitu 503 PS (375 kW) dan tork maksimum 725 Nm hasil pacuan semua roda (4WD) dengan dua motor. 

 

MG

 

Dibekalkan dengan bateri 77 kWh, kenderaan elektrik (EV) itu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.2 saat dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 446 km (WLTP), manakala tempoh pengecasannya menggunakan pengecas AC 7 kW mengambil masa kira-kira 10.5 jam untuk cas penuh dari 10% hingga 100%. 

 

Dengan pengecas awam pantas 150 kW DC, pelanggan boleh mengecas dari 10% hingga 80% dalam hanya 38 minit.

 

Dari segi reka bentuk, MG Cyberster tampil dengan reka bentuk rendah dan lebar serta bumbung yang boleh dibuka, sementara pintu gunting elektrik tanpa bingkai bukan sahaja memudahkan akses tetapi juga menambah gaya. 

 

MG

 

Roadster itu dilengkapi roda aloi Jetstream 20-inci, angkup brek merah yang menonjol dan lampu depan LED automatik dengan DRL untuk penglihatan lebih jelas.

 

Bahagian dalam Cyberster menampilkan pakej dalaman sporty dengan tempat duduk kulit yang dihiasi sisipan Alcantara dan stereng berbalut kulit Nappa untuk keselesaan dan gaya. 

 

Sistem hiburannya dilengkapi skrin sentuh tujuh inci, paparan pemacu 10.25 inci dan dua skrin tambahan di kiri dan kanan. 

 

MG

 

Untuk pengalaman audio yang mantap, ia hadir dengan sistem bunyi Bose 8 pembesar suara.

 

Keselamatan turut menjadi keutamaan apabila kenderaan tersebut dilengkapi sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) di bawah jenama MG Pilot. 

 

Antara ciri utama lain termasuk Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki dan basikal, Adaptive Cruise Control (ACC), Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA), serta Amaran dan Bantuan Lorong (LDW & LKA). 

 

Ia juga hadir dengan Blind Spot Detection (BSD), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent High Beam Assist bagi memastikan anda memandu dengan tenang dan selamat setiap masa.

 

MG Cyberster boleh didapati dalam empat warna menarik iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow dan English White. 

 

Pengunjung ACE 2024 boleh memandu uji model-model seperti MG HS SUV, MG5 Sedan, MG4 EV dan MG ZS EV SUV. 

 

Model-model itu menawarkan kombinasi prestasi, keselesaan dan teknologi canggih yang sesuai untuk semua, menunjukkan kehebatan pemanduan dalam barisan kereta MG yang semakin berkembang.

 

MG HS dan MG Cyberster boleh ditempah awal dengan anggaran harga bagi MG Cyberster akan diumumkan kemudian. 

 

Pengunjung juga berpeluang berbincang dengan pakar SAIC Motor Malaysia mengenai inisiatif syarikat dalam menerajui masa depan mobiliti yang lebih mesra alam.

 

Auto Car Expo (ACE) 2024 akan diadakan pada 26 dan 27 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Setia City. - DagangNews.com