AirAsia X catat lebih 1 juta penumpang pada suku ketiga didorong peningkatan pesawat kembali beroperasi | DagangNews Skip to main content

AirAsia X catat lebih 1 juta penumpang pada suku ketiga didorong peningkatan pesawat kembali beroperasi

Pesawat AirAsia di KLIA 2 - Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - AirAsia X Berhad (AAX) mencatatkan trafik penumpang yang kukuh pada suku ketiga tahun 2024 (3Q24) iaitu 1,084,049 penumpang, mewakili 34% pertumbuhan suku-ke-suku didorong peningkatan pesawat kembali beroperasi. 

 

Menurut AirAsia X, pengembalian operasi pesawat meningkatkan kapasiti tempat duduk sebanyak 27% tahun ke tahun (YoY) pada 1,284,871 tempat duduk. 

 

Selain itu, tempat duduk tersedia setiap kilometer meningkat sebanyak 17 % YoY kepada 5,141 juta semasa suku ketiga.

 

Dari segi rangkaian pada suku tersebut, AirAsia X melancarkan penerbangan ke Changsha, China sebanyak empat kali seminggu dan penerbangan dua kali seminggu ke Madinah, Arab Saudi serta memperkenalkan semula laluan Taipei-Osaka yang terbang tujuh kali seminggu.

 

AirAsia X berkata, ketersambungan penerbangan dipertingkatkan lagi untuk memanfaatkan dua laluan yang paling menguntungkan ke China iaitu Hangzhou (kepada enam kali seminggu) dan Xi’an (kepada empat kali seminggu).

 

"Sehingga akhir September 2024, lebih separuh laluan dalam rangkaian kami menyediakan penerbangan harian bagi memenuhi permintaan perjalanan yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

AirAsia X Thailand (TAAX) mencatat faktor muatan penumpang (PLF) yang sihat pada 80% pada suku tersebut didorong oleh peningkatan kapasiti tempat duduk kepada 426,064 dan bilangan penumpang pada 342,533. 

 

"Jumlah pesawat AirAsia X kekal pada 18 armada A330 pada 30 September 2024, dengan 16 pesawat kini diaktifkan dan sedang beroperasi. 

 

"Sementara itu, jumlah pesawat TAAX pula melibatkan lapan armada A330, di mana tujuh daridanya telah diaktifkan dan telah mula beroperasi," katanya. - DagangNews.com