KUALA LUMPUR 8 Jan - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah keras cadangan penurunan harga padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada harga semasa RM1,500 hingga RM1,800.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, harga itu diputuskan dalam mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) tanpa mengambil kira suara komuniti pesawah.
Katanya, ia juga gagal menggambarkan kos sebenar pengeluaran padi yang semakin meningkat.
"Harga minimum RM1,300 yang ditetapkan pada 2023 adalah dari era yang lalu dan tidak relevan pada masa kini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selain harga anak benih padi yang meningkat dua kali ganda sejak 2023, kos baja dan penuaian juga bertambah sejak penghapusan subsidi diesel, memberi kesan kepada kos operasi mesin yang tinggi.
"Terdapat peningkatan ketara dalam sewa tanah serta dalam kos bahan kimia dan racun perosak untuk operasi tanaman padi.
"Kami kesal kerana perbincangan mengenai harga siling padi dilakukan oleh kerajaan dan pengusaha kilang padi tanpa melibatkan wakil-wakil persatuan," ujarnya.
PeSAWAH menuntut agar kerajaan mengkaji semula harga siling minimum padi dan mempertimbangkan faktor-faktor lain seperti peningkatan mendadak dalam kos pengeluaran padi, pendapatan dan kebajikan pesawah, serta harga beras tempatan yang lebih realistik.
Abdul Rashid berkata, jika kerajaan berkeras untuk mengekalkan harga RM1,300 per metrik tan, kementerian seharusnya menurunkan harga anak benih padi kepada RM45 sekantung, termasuk perbelanjaan lain.
"Sebarang perbincangan pada masa depan harus melibatkan wakil-wakil PeSAWAH," tambahnya. - DagangNews.com