Program Eksport Perniagaan SME Bank berjaya jana jualan eksport lebih RM74 juta | DagangNews Skip to main content

Program Eksport Perniagaan SME Bank berjaya jana jualan eksport lebih RM74 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Sept - SME Bank Malaysia Bhd menerusi Program Eksport Perniagaan (BEP) telah menjana lebih RM74 juta dalam jualan eksport tambahan, dengan 65% daripada syarikat berjaya memasuki pasaran dan negara eksport baharu. 

 

Dalam kenyataan medianya, SME Bank berkata, BEP juga telah memudahkan penerokaan pasaran antarabangsa untuk PMKS Malaysia dengan menganjurkan lebih daripada 15  Misi Pecutan Eksport (EAM) di pelbagai negara.

 

Ini negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina, China, Jepun, Thailand, United Kingdom, Jerman dan Amerika Syarikat (AS). 

 

Selain itu, katanya, program ini telah mengenal pasti syarikat berpotensi tinggi dengan menghasilkan RM154.94 juta kelulusan pembiayaan baharu dan tambahan untuk SME Bank.

 

"BEP SME Bank, sebuah program intervensi berstruktur dengan kerjasama MATRADE dan dibiayai oleh KUSKOP, telah menerima jumlah pembiayaan sebanyak RM15 juta dan telah menerima penyertaan 84 syarikat sejak penubuhannya pada 2020. 

 

"Sebanyak 48 syarikat telah menamatkan pengajian program ini baru-baru ini," kata SME Bank hari ini.

 

Pemangku Presiden Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pihaknya berbesar hati untuk sekali lagi menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia  (MIHAS) 2024 serta menyokong sasaran pelaburan KUSKOP sebanyak RM80 juta untuk edisi tahun ini.

 

Kata beliau, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu PMKS dalam industri halal yang pesat, MIHAS 2024 merupakan platform strategik untuk mempamerkan inisiatif utama SME Bank termasuk BEP, SME Bank Umbrella Programme, Pembiayaan HalalBiz, dan Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV). 

 

"Inisiatif-inisiatif ini mengukuhkan matlamat nasional untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam Ekonomi Halal, terutamanya menerusi Pembiayaan HalalBiz kerana kami adalah salah satu institusi kewangan yang berbangga kerana telah diberi mandat dalam Belanjawan Negara 2024 untuk menggerakkan program ini bagi menyokong pertumbuhan eksport kami dalam segmen Halal," jelasnya.

 

Menurut kenyataan itu, SME Bank juga telah diamanahkan untuk menggerakkan pelbagai program untuk melonjakkan lagi PMKS dalam segmen halal.

 

"Ini termasuk Program Inovasi & Teknologi Halal Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal, Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal dan Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal dengan peruntukan geran terkumpul kira-kira RM8.5 juta dalam tempoh 2023–2024," ujarnya. - DagangNews.com