Projek KUTS: Orang awam diminta patuhi keselamatan trafik sepanjang kerja pembinaan berjalan | DagangNews Skip to main content

Projek KUTS: Orang awam diminta patuhi keselamatan trafik sepanjang kerja pembinaan berjalan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Jan - Orang awam digesa mengutamakan keselamatan jalan raya dan mematuhi semua langkah pengurusan trafik susulan kerja-kerja pembinaan bagi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang sedang rancak dilakukan. 

 

Sarawak Metro kini giat melaksanakan projek itu untuk membangunkan sistem pengangkutan awam bandar yang lebih lancar dan lestari bagi bandar raya Kuching.

 

Projek KUTS merangkumi pembangunan beberapa laluan utama, termasuk Laluan Biru sepanjang 27.6 km yang menghubungkan Rembus di Samarahan ke Hikmah Exchange, Laluan Merah sepanjang 12.3 km dari Kuching Sentral ke Pending dan Laluan Hijau sepanjang 30 km dari Pending ke Damai Central.

 

KUTS

 

Projek berkenaan juga merangkumi depoh Autonomous Rapid Transit (ART) di Rembus, Kota Samarahan yang melibatkan Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan blok pentadbiran, landasan ujian, bengkel mekanikal dan kemudahan, kawasan tempat letak kereta dan depoh bas hidrogen.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts Mazli Mustaffa berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan projek tersebut yang bertujuan memodenkan sistem pengangkutan awam melalui yang selamat, cekap dan lestari untuk Kuching.

 

"Semasa pembinaan berjalan, kami memohon kesabaran orang awam apabila melalui tapak pembinaan kami. 

 

"Kami amat mengutamakan keselamatan. Oleh itu, kami menggalakkan orang ramai untuk terus mengikuti langkah pengurusan trafik bagi memastikan perjalanan yang lancar dan selamat untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.

 

kuts

 

Dengan aktiviti pembinaan yang kini memuncak, termasuk pembinaan stesen bertingkat dan di aras tanah bagi memastikan penyepaduan yang lancar ke dalam landskap bandar raya Kuching, Sarawak Metro menegaskan tumpuan mereka terhadap keselamatan.

 

Maklumat mengenai penutupan jalan dan lencongan laluan boleh didapati di saluran media sosial rasmi Sarawak Metro seperti laman web www.mysarawakmetro.com, Facebook, Instagram, X, LinkedIn dan TikTok. - DagangNews.com