KUALA LUMPUR 20 Jan - FBG Sdn Bhd dan Penang Development Corporation (PDC) menandatangani perjanjian pembelian dan pembangunan induk (master PDA) bagi membina fasa pertama projek Penang Medi-City di Batu Kawan.
Pengarah Eksekutif Kumpulan FBG, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, fasa pertama Medi-City akan dibina atas tanah seluas 20.70 hektar daripada jumlah 95.42 hektar bagi keseluruhan projek.
“Daripada 20.70 hektar, 6.19 hektar akan diperuntukkan kepada komponen penjagaan kesihatan, termasuk hospital 200 katil yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perubatan terkini.
“Baki tanah seluas 14.48 hektar akan diperuntukkan bagi pembangunan kediaman dan komersial, menyokong visi mewujudkan hab pembangunan dinamik di Batu Kawan,” katanya semasa majlis menandatangani induk PDA , hari ini.
Chan berkata, kerjasama ini bukan hanya tertumpu kepada aspek perniagaan, tetapi juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha memperkasakan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Dengan pelan induk Medi-City yang terletak berhampiran Taman Perindustrian Batu Kawan, kami komited untuk mewujudkan ekosistem lengkap yang diterajui inovasi, keusahawanan dan pembangunan.
“Ini sejajar dengan visi Pulau Pinang untuk menjadi negeri yang berdaya saing dan mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek Medi-City memainkan peranan penting dalam menggiatkan serta mengukuhkan industri pelancongan dan penjagaan kesihatan di Pulau Pinang.
Beliau berkata, dengan tumpuan kepada pelancongan perubatan, projek itu dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan meningkatkan status Pulau Pinang sebagai hab penjagaan kesihatan utama di Asia Tenggara.
“Pengunjung ke Penang Medi-City akan memberi kesan ketara kepada ekonomi tempatan, khususnya dalam merangsang ekosistem perniagaan dan mewujudkan pelbagai peluang baharu.
“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor penjagaan kesihatan tetapi juga membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang, serta menyediakan platform penting bagi pembangunan kemahiran dan kerjaya dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.
Menurut Chow, Pulau Pinang kini menyumbang 45% daripada pendapatan pelancongan perubatan negara. - DagangNews.com