Prospek pertumbuhan jangka panjang Pentamaster dipacu perkembangan industri semikonduktor - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek pertumbuhan jangka panjang Pentamaster dipacu perkembangan industri semikonduktor - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - RHB Investment menjangkakan prospek pertumbuhan jangka panjang Pentamaster Corp Bhd disokong perkembangan industri semikonduktor seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan peranti perubatan.

 

Katanya, perkara itu berlaku selepas penyedia perkhidmatan dan system automasi mnejadi lebih berhati-hati terhadap prospek separuh pertama 2025 disebabkan kelembapan sekor automotif.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mendedahkan kelemahan berterusan dalam segmen automotif, dengan buku pesanan kumpulan itu meningkat hanya 5% suku ke suku kepada RM420 juta.

 

"Sektor itu diunjur menyumbang 25% hingga 28% kepada keseluruhan hasil 2024, dengan jangkaan kelemahan berterusan sehingga separuh pertama 2025.

 

"Pentamaster mengalihkan tumpuannya ke arah segmen pertumbuhan tinggi (seperti pembungkusan termaju dalam pembuatan semikonduktor), melihat separuh kedua 2024 sebagai tempoh peralihan," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment berkata, peranti perubatan kekal sebagai pemacu hasil utama untuk kumpulan pada 45% hingga 48% daripada hasil 2024.

 

“Kumpulan itu sedang berusaha mengembangkan pangkalan pelanggannya dengan menjangkakan kelembapan daripada pelanggan utamanya.

 

"Pelanggan baharu kini mewakili bahagian 10%-15% yang agak sederhana daripada talian teratas peranti perubatan,” katanya.

 

“Pada 2025, kumpulan itu menjangkakan segmen itu menyumbang 40% hingga 45% daripada hasil, dengan pelanggan utamanya sebagai penyumbang terbesar.

 

"Ia juga melihat momentum daripada pelanggan baharu dan menjangkakan rancangan pengembangan daripada pelanggan ini," katanya.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, ruang semikonduktor menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan pertumbuhan hasil pada suku ketiga 2024, dan dijangka mewakili sekitar 10% daripada jumlah hasil 2024.

 

Begitu juga, industri elektrooptik diunjurkan mengekalkan momentum pertumbuhannya, menyumbang 10% hingga 12% kepada jumlah hasil, katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.10 berbanding RM5.95 sesaham.- DagangNews.com