KUALA LUMPUR 26 Nov - Penganalisis kekal positif terhadap prospek sektor penternakan Malaysia yang menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan walaupun menghadapi cabaran global.
Katanya, sektor penternakan kekal menjadi penyumbang ekonomi negara didorong oleh kos makanan yang lebih rendah dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Naib Presiden Tradeview Capital Sdn Bhd, Tan Cheng Wen berkata, makanan yang diimport dalam dolar AS kebanyakannya terdiri daripada tepung jagung dan kacang soya, biasanya menyumbang 70% daripada kos pengeluaran.
Beliau menjangkakan syarikat ternakan ayam Malaysia mendapat manfaat daripada margin keuntungan yang lebih baik apabila kos makanan dan input menurun.
"Bagaimanapun, kebimbangan dalam industri bukan sahaja pemansuhan subsidi sejak tahun lepas tetapi juga persaingan daripada ayam sejuk beku import dari Thailand," katanya.
Sementara itu, pakar industri berkata, margin yang lebih baik dalam sektor itu berkemungkinan meningkatkan persaingan dalam kalangan syarikat tersenarai.
Kos makanan yang lebih rendah secara amnya merupakan pemacu utama untuk meningkatkan margin keuntungan dalam sektor ayam itik.
"Memandangkan makanan biasanya menyumbang 60% hingga 70% daripada jumlah kos pengeluaran, pengurangan dalam perbelanjaan ini secara langsung akan meningkatkan keuntungan syarikat ternakan," katanya.
Pakar tersebut kekal optimis terhadap sektor tersebut berikutan kos makanan yang lebih rendah, bagaimanapun, beliau berkata, ringgit yang semakin lemah akan memberi risiko kepada pengeluar yang bergantung kepada bahan makanan yang diimport.
Antara pemain utama sektor ayam itik ialah Leong Hup International Bhd, QL Resources Bhd, Lay Hong Bhd, CAB Cakaran Corporation Bhd, dan Teo Seng Capital Bhd.
Dalam nota baru-baru ini, MIDF Research berkata, pengurangan kos makanan dijangka memberi manfaat kepada pemain utama seperti QL Resources dan Leong Hup.
Firma penyelidikan itu kekal optimis harga komoditi akan kekal rendah pada 2025 didorong oleh bekalan kukuh daripada pengeksport terkemuka.
Dengan sokongan kerajaan, firma itu berkata, QL Resources dan Leong Hup berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada aliran ini, menyumbang kepada prospek positif bagi sektor itu. - DagangNews.com