PublicInvest jangka buku pesanan Dayang Enterprise cecah RM5.4 bilion disokong kontrak MCM dan HUC | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka buku pesanan Dayang Enterprise cecah RM5.4 bilion disokong kontrak MCM dan HUC

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Buku pesanan Dayang Enterprise Holdings Bhd dijangka meningkat kepada RM5.4 bilion susulan tiga kontrak perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian Pan Malaysia (MCM) dan perkhidmatan hook-up & pentauliahan (HUC) dianugerahkan oleh Petronas Carigali, kata PublicInvest.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak MCM dan HUC pakej A3 yang melibatkan aset Sarawak (Minyak SKA) dan Pakej A5 meliputi aset Sabah iaitu SBA Selatan tersebut bernilai RM4 bilion.

 

PublicInvest menganggarkan gambungan kedua-dua kontrak itu bernilai RM3 bilion bagi tempoh lima tahun pertama.

 

"Kami percaya kehadiran Dayang di Sarawak adalah penting bagi memastikan kecekapan operasi dalam menjalankan kerja-kerja MCM and HUC di negeri itu.

 

"Selain itu, kami menjangkakan Dayang akan menerima lebih banyak kontrak bagi pakej kerja penyahtauliahan terutamanya di Sarawak pada pertengahan 2025/2026," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

PublicInvest menjangkakan segmen marin Dayang akan terus mencatat pertumbuhan ketara didorong oleh kadar penggunaan tinggi.

 

"Sementara itu, bagi segmen penyelenggaraan bahagian atasnya, kami menjangkakan sedikit kelemahan pada QoQ memandangkan kontrak MCM dan HUC yang sedia ada akan tamat tidak lama lagi.

 

"Secara keseluruhannya, Dayang akan mencatat pertumbuhan pendapatan yang ketara pada asas YoY, bagaimanapun, perkembangan suku ke suku (QoQ) dijangka mendatar," katanya.

 

Sementara itu, PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' ke atas Dayang dengan harga sasaran (TP) RM4.65.- DagangNews.com