KUALA LUMPUR 3 Jan - Pulau Perhentian muncul sebagai destinasi baharu yang paling menarik perhatian pelancong antarabangsa yang melawat Malaysia.
Menurut Senarai Horizon Baharu platform pelancongan digital, Agoda, bandar raya Shah Alam turut disenaraikan sebagai destinasi domestik yang mencatatkan lonjakan populariti tertinggi bagi pelancong Malaysia.
Sementara itu, Pulau Batam di Indonesia meraih tempat pertama sebagai destinasi antarabangsa paling diminati oleh rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara.
Senarai Horizon Baharu Agoda yang diterbitkan setiap tahun, membandingkan kedudukan tempahan penginapan dari dua tahun sebelumnya untuk mengenal pasti destinasi domestik dan antarabangsa yang mencatat lonjakan populariti tertinggi.
Kemunculan Pulau Perhentian, Terengganu sebagai destinasi baharu yang popular dalam kalangan pelancong antarabangsa, mencerminkan peningkatan daya tarikan pantai-pantai yang indah di Malaysia.
Menduduki tempat ketiga dalam senarai destinasi paling popular untuk 'slow travel' di Asia oleh Agoda awal tahun ini, pulau peranginan tersebut adalah antara destinasi yang mencatatkan purata tempoh penginapan paling panjang dalam kalangan pelancong.
Ia menjadi tumpuan pencinta pantai dan juga penyelam kerana lautnya yang biru, ekosistem marin yang kaya dan usaha pemuliharaan terumbu karang.
Dengan adanya perkhidmatan penerbangan pesawat laut peribadi, pulau itu juga lebih mudah untuk dikunjungi.
Bagi pelancong domestik, kemunculan Shah Alam dalam senarai tersebut, menjadi satu kejutan.
Walaupun sering dianggap sebagai kawasan perumahan dan perindustrian, ia juga menawarkan pelbagai pilihan destinasi percutian mesra keluarga.
Antara tarikan di Shah Alam termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Taman Botani Negara dan kafe-kafe yang menjadi tumpuan pengunjung di hujung minggu.
Lokasinya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur dan kos perbelanjaan yang berpatutan, menjadikannya destinasi yang menarik bagi penduduk tempatan yang ingin bercuti singkat tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
Pulau Batam pula muncul sebagai destinasi popular dalam kalangan warga Malaysia yang melancong ke luar negara.
Kos perbelanjaan yang rendah, kemudahan pengangkutan feri, serta ketersediaan pelbagai aktiviti rekreasi termasuk sukan air, golf, go-kart dan aktiviti pantai, menjadikan Batam sebagai destinasi idaman bagi pelbagai segmen pelancong.
Daya tarikannya turut diperkukuh dengan kehadiran pusat membeli-belah bebas cukai dan hidangan tempatan yang lazat.
Pulau itu menawarkan pengalaman percutian yang seimbang antara ketenangan dan pengembaraan, menjadikan Batam pilihan yang semakin popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja berkata, pihaknya teruja dengan peningkatan minat pelancong antarabangsa terhadap Pulau Perhentian, yang mencerminkan kejayaan usaha berterusan untuk mempamerkan pelbagai tarikan di Malaysia.
"Begitu juga populariti Shah Alam yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong domestik. Ia menunjukkan perubahan dalam pilihan destinasi percutian rakyat Malaysia, yang kini lebih berminat meneroka keunikan destinasi tersembunyi di sekitar mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Shanghai menduduki tempat pertama dalam Senarai Horizon Baharu, mengatasi destinasi lain sebagai pilihan utama bagi pelancong Asia keseluruhannya, diikuti Jeju (Korea Selatan), Paris (Perancis), Nha Trang (Vietnam) dan Fukuoka (Jepun). - DagangNews.com