Radium ambil alih tanah seluas 1.03 hektar berharga RM45 juta di Ampang bagi tujuan pembangunan bercampur | DagangNews Skip to main content

Radium ambil alih tanah seluas 1.03 hektar berharga RM45 juta di Ampang bagi tujuan pembangunan bercampur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Dis - Radium Development Bhd menerusi Mayang Sepakat Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi mengambil alih tanah seluas 1.03 hektar di Seksyen 15, Ampang pada harga RM45 juta bagi tujuan pembangunan bercampur pada masa hadapan. 

 

Kumpulan itu berkata, tanah itu terletak di lokasi strategik lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur yang diperlukan.

 

"Lembaga pengarah percaya, cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Katanya, tanah itu terletak kira-kira 10 kilometer dari tenggara pusat bandar Kuala Lumpur.

 

Tanah itu mudah diakses melalui lebuh raya utama, termasuk Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (MRR2) dan Lebuhraya Sungai Besi (SBE).

 

Kawasan itu juga dilengkapi kemudahan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang dengan Stesen Cempaka yang jaraknya lebih kurang 350 meter dari tanah berkenaan selain jaringan laluan bas RapidKL.

 

"Kumpulan itu bercadang membiayai kos dan perbelanjaan berkaitan dengan pengambilalihan dan pembangunan melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

 

"Campuran pembiayaan yang tepat akan diputuskan oleh pihak pengurusan pada peringkat seterusnya selepas mengambil kira tahap penggearan, kos faedah serta keperluan tunai dalaman untuk operasi perniagaannya.

 

"Tanpa sebarang keadaan yang tidak diduga, cadangan itu dijangka selesai pada separuh kedua 2025," katanya.- DagangNews.com