KUALA LUMPUR 26 Nov - Radium Development Bhd (Radium) dilaporkan membeli tanah pegangan pajakan seluas 5.26 hektar dengan harga RM458 juta di Cheras yang akan dibangunkan sebagai projek pembangunan bercampur.
Menurut pemfailan bursa pada Isnin, syarikat itu memperoleh tanah tersebut daripada Dupion Development Sdn Bhd (Dupion Development) melalui transaksi pihak berkaitan.
Dupion Development dimiliki secara sama rata oleh Jakel Development Sdn Bhd dan Platinum Victory (WM) Sdn Bhd, sebuah firma yang dikawal oleh Tan Sri Gan Yu Chai, yang merupakan abang kepada Pengarah Urusan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong.
Yu Chai juga merupakan Pengarah Urusan Southern Score Builders Bhd.
Radium berkata, sejumlah 70% atau RM320.6 juta daripada harga pembelian akan dibiayai melalui pinjaman bank, manakala baki 30% atau RM137.4 juta akan dibiayai menggunakan dana dalaman syarikat.
Jelas syarikat itu, pinjaman tanpa faedahnya dijangka meningkat kepada 0.46 kali berbanding 0.05 kali, dengan nilai keseluruhan bertambah kepada RM361 juta daripada RM40.46 juta.
Radium berkata, pengambilalihan tanah berkenaan akan meningkatkan jumlah tanah yang dimilikinya di Kuala Lumpur kepada 13.76 hektar daripada 8.40 hektar.
Syarikat itu berkata, tanah tersebut terletak dalam zon pembangunan berorientasikan transit berhampiran stesen MRT Taman Pertama, menawarkan peluang untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat bagi projek pembangunan bandar yang terintegrasi dan saling berhubung.
Tambahnya, tanah tersebut akan digunakan untuk membangunkan pangsapuri servis dan ruang komersial dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.54 bilion.
Pengambilalihan tanah itu dijangka selesai pada separuh pertama tahun 2025.
Mengulas mengenai pembelian terbabit, Kah Siong berkata, pengambilalihan terbabit merupakan batu asas kepada strategi pertumbuhan syarikat, membolehkan Radium merebut permintaan yang semakin meningkat bagi ruang kediaman bandar terintegrasi di Lembah Klang.
"Lokasi dan skala projek ini menawarkan potensi besar untuk kenaikan nilai modal, yang selari dengan fokus kami untuk mencipta nilai jangka panjang," ujarnya.
Tambahnya, transaksi berkenaan yang memerlukan kelulusan pemegang saham, dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi syarikat dalam jangka sederhana hingga panjang.
"Ia memanfaatkan rekod prestasi terbukti Radium dalam membangunkan projek-projek bandar yang berjaya, termasuk pembangunan Suite Canselor, Residensi Desa Timur dan Residensi Radium Arena yang sedang berjalan," jelas beliau.
Saham Radium ditutup turun 0.5 sen atau 1% kepada 47.5 sen pada Isnin, dengan penilaian pasaran syarikat sebanyak RM1.65 bilion.
Sejak awal tahun, saham tersebut telah meningkat sebanyak 20.25%. - DagangNews.com