Rancangan Affin Bank menambah jumlah cawangan berpotensi naikkan nisbah kos untuk beberapa tahun akan datang - CGS International | DagangNews Skip to main content

Rancangan Affin Bank menambah jumlah cawangan berpotensi naikkan nisbah kos untuk beberapa tahun akan datang - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jan - Rancangan Affin Bank Bhd bagi menambah jumlah cawangannya berpotensi menaikkan nisbah kos kepada pendapat (CIR) untuk beberapa tahun akan datang, kata CGS International.

 

Katanya, bank itu merancang untuk mengembangkan rangkaian cawangannya daripada 130 pada 2024 kepada 146 menjelang akhir tahun ini, dan kepada 180 menjelang 2028, dengan penambahan akan tertumpu di Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengembangan itu dijangka membawa kepada pertumbuhan pendapatan pinjaman dan yuran yang lebih kukuh dalam jangka panjang, bank itu perlu menanggung perbelanjaan operasi berulang tambahan sebelum merealisasikan hasil baharu yang besar.

 

"Dengan ini, kami menganggarkan CIR kekal tinggi iaitu antara 60% hingga 70% dalam dua hingga tiga tahun akan datang, lebih tinggi daripada purata sektor sekitar 45% hingga 50% dalam tempoh yang sama. 

 

"Kami mengunjurkan CIR bank itu kekal tinggi pada 65% hingga 68% pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24)-FY26, walaupun ia akan meningkat daripada 71.6% dicatatkan pada FY23," katanya dalam satu nota kajian.

 

CGS International berkata, bank itu telah menetapkan sasaran kewangan yang agresif untuk FY28, termasuk keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.8 bilion (kadar pertumbuhan tahunan kompaun 37% dari FY24 hingga FY28), dan pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 12%, tiga kali ganda daripada 4% yang bank capai pada FY23.

 

Bagaimanapun, anggaran firma penyelidikan itu lebih konservatif, mengunjurkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM900.8 juta dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 5.5% untuk FY28. 

 

Sasaran FY2028 Affin yang lain termasuk nisbah CASA (akaun simpanan akaun semasa) sebanyak 35% dan jumlah pinjaman sebanyak RM116 bilion.

 

Firma penyelidikan itu percaya saham itu dinilai terlalu tinggi, didagangkan pada ramalan nisbah harga pendapatan FY25 sebanyak 13.3 kali, tertinggi dalam sektor perbankan, manakala unjuran ROE FY25 sebanyak 4.5% adalah terendah dalam kalangan rakan setaranya.

 

"Potensi risiko kenaikan harga kepada panggilan kami ialah peningkatan kukuh dalam margin faedah bersih dan pertumbuhan pendapatan yuran pada FY25 hingga FY26," kata CGS, sambil mengekalkan ramalan pendapatan sesaham untuk FY24 hingga FY26, dan harga sasarannya sebanyak RM2.76 untuk bank itu.

 

"Kami lebih menyukai Hong Leong Bank Bhd kerana pendedahan dalam sektor itu, disebabkan penilaiannya yang lebih rendah dan ROE yang lebih kukuh," katanya.- DagangNews.com