RHB Investment naik taraf saranan 'overweight' ke atas sektor perladangan | DagangNews Skip to main content

RHB Investment naik taraf saranan 'overweight' ke atas sektor perladangan

RHB Investment berkata, kenaikan harga MSM didorong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat - Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov - RHB Investment menaik taraf sektor perladangan kepada 'overweight' berdasarkan harga minyak sawit mentah (MSM) melebihi RM5,000 bagi satu tan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga MSM itu didorong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat, kenaikan harga minyak kacang soya akibat cuaca di Amerika Selatan dan larangan eksport minyak sawit Thailand bagi mengawal kenaikan harga minyak masak. 

 

"Kami menjangkakan harga saham minyak sawit tidak mungkin menyusut kepada RM4,000 setiap tan dalam masa terdekat, memandangkan risiko geopolitik yang masih aktif. 

 

"Faktor ini akan memastikan harga MSM meningkat. 

 

"Walaupun prospek sektor perladangan menjelang 2025 bertambah baik, terdapat beberapa faktor yang akan mendorong kepada defisit yang lebih ketara dalam minyak dan lemak global pada 2025. 

 

"Antaranya ialah keluaran dan stok minyak sawit yang rendah di Indonesia, peningkatan mandat biodiesel Indonesia pada 2025 dan bekalan biji matahari, biji sesawi dan kanola yang ketat," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Oleh itu, firma tersebut menaikkan unjuran harga MSM kepada RM4,300 satu tan bagi 2025 and MYR4,100 setan menjelang 2026. 

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan harga MSM akan kekal lebih tinggi pada 1H25, didagangkan dalam anggaran RM4,400 sehingga 4,800 setan sebelum menyederhana pada 2H25 kepada RM4,000 sehingga RM4,400 bagi satu tan semasa musim puncak.

 

"Sementara itu, kami menaikkan taraf sektor perladangan kepada 'overweight' dengan pilihan utama kami termasuk Johor Plantations Group Bhd (JPG), Sarawak Oil Palms Bhd (SOP), SD Guthrie Bhd (SDG), Bumitama Agri Ltd (BAL) danLondon Sumatra Indonesia (LSIP)," katanya. - DagangNews.com