RHB Investment positif terhadap prospek Samaiden dipacu kontrak pertama di bawah CGPP | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek Samaiden dipacu kontrak pertama di bawah CGPP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - RHB Investment positif terhadap terhadap prospek Samaiden Group Bhd selepas ia memperoleh kontrak pertamanya di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) yang mencerminkan kedudukannya yang kukuh dalam ruang tenaga solar.

 

Katanya, kontrak bernilai RM52 juta yang diraih kumpulan itu akan meningkatkan buku pesanannya kepada RM356.5 juta, meningkat 16% daripada RM313.5 juta pada Jun 2024.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan margin keuntungan kasar antara 10% hingga 15% untuk kontrak itu, sejajar dengan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) berskala biasa.

 

"Kami kekal positif terhadap prospek Samaiden.

 

"Memandangkan rekod prestasinya yang terbukti, kumpulan itu berkemungkinan terus melihat kemenangan kontrak yang kukuh apabila lebih banyak inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) diperkenalkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Samaiden sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 100 megawatt (MW) pekerjaan EPCC di bawah inisiatif CGPP, sebagai tambahan kepada 43.3MW aset kasarnya di bawah program itu.

 

Kontrak terbaharu itu adalah untuk loji solar berskala besar (LSS) arus ulang-alik 14 MW yang terletak di Sungai Petani, Kedah.

 

RHB Investment mengekalkan anggaran pendapatannya untuk kumpulan itu kerana kontrak berkenaanberada dalam andaian penambahan buku pesanannya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.33 sesaham.- DagangNews.com