RHB jual kira-kira 99.95% saham ekuiti dalam RHB Securities Thailand | DagangNews Skip to main content

RHB jual kira-kira 99.95% saham ekuiti dalam RHB Securities Thailand

Gambar dari laman web rasmi RHB Bank
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov - RHB Investment Bank Bhd, anak syarikat milik penuh RHB Bank Bhd, akan menjual kira-kira 99.95% saham ekuitinya dalam RHB Securities (Thailand) Public Company Limited, serta keluar daripada pasaran pembrokeran saham dan sekuriti Thailand.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, RHB berkata, penjualan itu sejajar dengan fokus strategik jangka panjang RHB Investment Bank untuk mengoptimumkan modalnya, memperkemaskan sumber dan mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran teras.

 

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, keputusan untuk menjual saham kumpulan dalam RHB Securities Thailand adalah berikutan semakan menyeluruh perniagaannya dan persekitaran operasi di Thailand.

 

RHB
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad

 

“Ini adalah sebahagian daripada strategi berterusan kami untuk memberi tumpuan kepada pasaran di mana kami boleh mencapai impak yang lebih besar.

 

"Semasa peralihan ini, kami komited memastikan pengalaman yang lancar untuk pelanggan kami dan mengekalkan tahap perkhidmatan tertinggi,” katanya.

 

Penjualan itu dijangka selesai pada suku keempat 2024, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat lazim yang lain. 

 

Katanya, lebih penting lagi, urus niaga ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham yang besar dalam RHB Bank.

 

RHB Securities Thailand merupakan syarikat sekuriti berlesen yang menawarkan perkhidmatan broker saham, perbankan pelaburan dan amanah korporat.

 

Dengan pejabat serantau serta mempunyai lima cawangan, RHB Securities Thailand telah berjaya mewujudkan kehadiran yang kukuh dalam pasaran Thailand.

 

Memandang ke hadapan, Mohd Rashid berkata, kumpulan akan memfokuskan semula usahanya yang sejajar dengan keutamaan strategik kami.

 

"Dalam konteks ini, RHB Bank Thailand kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang penting dan komponen penting dalam jejak perbankan runcit serantau kami.

 

"Kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk menyampaikan rumusan inovatif dan perkhidmatan unggul serta mencipta nilai jangka panjang untuk pelanggan, pekerja dan pemegang saham kami," katanya.- DagangNews.com