Sagar Sanjay Dighe dilantik sebagai CEO MAG Catering Operations berkuat kuasa 1 November 2024 | DagangNews Skip to main content

Sagar Sanjay Dighe dilantik sebagai CEO MAG Catering Operations berkuat kuasa 1 November 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pelantikan Sagar Sanjay Dighe sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAG Catering Operations (MCAT) berkuat kuasa 1 November 2024.

 

Menerusi pelantikan itu, beliau bertanggungjawab mengawasi hala tuju strategik dan pengurusan MCAT bagi memastikan pertumbuhan berterusan apabila kumpulan itu mengukuhkan perniagaan bukan penerbangannya.

 

Sagar memiliki rekod kepimpinan yang positif dalam bidang pengurusan, kewangan dan operasi, terutamanya dalam sektor penerbangan, rumusan makanan dan hospitaliti.

 

"Baru-baru ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah SATS Food India (SFSI), di mana beliau mengetuai inisiatif pertumbuhan yang ketara, termasuk penubuhan kemudahan pengeluaran makanan sejuk beku yang canggih.
 

"Dengan pengalaman lebih sedekad bersama SATS Ltd di India, beliau terkenal dengan visi strategik dan pelaksanaan yang berjaya, menghasilkan peningkatan bahagian pasaran dan keuntungan," kata MAG dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak penubuhannya pada September 2023, MCAT telah berubah daripada pusat pengedaran makanan dan minuman (F&B) sementara di KLIA kepada entiti dinamik bagi memacu pertumbuhan serta kualiti perkhidmatan.

 

Pada Jun 2024, MCAT berjaya mengembangkan operasinya daripada hanya 36,000 kaki persegi kepada 70,900 kaki persegi, membolehkan peningkatan kapasiti dan kecekapan operasi, sambil mengekalkan standard tertinggi keselamatan makanan dan kepuasan pelanggan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan Sagar ke dalam peranan baharu itu kerana beliau membawa perspektif baharu dan pelbagai pengalaman bagi memajukan MCAT, memacu inovasi dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

 

"Sambil mempelbagaikan perniagaan dan mengukuhkan operasi teras, kami terus komited untuk melabur dalam kakitangan, infrastruktur dan teknologi bagi memupuk pertumbuhan berterusan.

 

"Aspirasi kami adalah bagi mengukuhkan portfolio perniagaan penerbangan bagi menyumbang 30% daripada pendapatan kumpulan menjelang 2027, mengukuhkan kedudukan kami sebagai kumpulan perkhidmatan perjalanan dan penerbangan terkemuka di Asia," katanya. - DagangNews.com