Saham syarikat perkhidmatan kejuruteraan, CBH Engineering dibuka 18% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Saham syarikat perkhidmatan kejuruteraan, CBH Engineering dibuka 18% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jan - Saham penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E), CBH Engineering Holding Bhd dibuka 18% lebih tinggi daripada tawaran awam permulaan (IPO) pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

 

Saham syarikat itu dibuka 5 sen lebih tinggi pada 33 sen berbanding harga IPO iaitu 28 sen setiap satu, sebelum meningkat setinggi 34 sen

 

CBH Engineering didagangkan pada 33 sen pada 9.15 pagi, selepas lebih 173 juta saham bertukar tangan. Pada harga terakhirnya, syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM620 juta.

 

Pengarah Urusannya, Cheah Boon Hwa berkata, kemunculan Malaysia sebagai hab untuk pemain teknologi global, termasuk pengendali pusat data terkemuka dan gergasi teknologi seperti Microsoft, Google dan Amazon, serta Telekom Malaysia Bhd mewujudkan peluang menarik untuk syarikat itu.

 

“Kami berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan industri yang berkembang pesat ini.

 

“Dengan RM83.4 juta diperoleh daripada IPO, di samping buku pesanan belum dibilkan sebanyak RM203.7 juta dan buku tender RM559.7 juta, kami mempunyai asas yang kukuh.

 

"Digabungkan dengan rekod prestasi kami yang terbukti, ini memberikan kami keyakinan untuk mendapatkan lebih banyak projek bernilai tinggi pada masa hadapan, terutamanya daripada pelanggan global,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kumpulan itu menyediakan perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan, termasuk reka bentuk, pemasangan, ujian dan penyelenggaraan sistem elektrik merentasi pelbagai tahap voltan, serta sistem mekanikal seperti penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal, perlindungan kebakaran, paip dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Syarikat itu memperoleh RM83.44 juta daripada terbitan awamnya, dengan 46.2% diperuntukkan untuk perolehan peralatan dan komponen untuk projek masa depan. 

 

Kira-kira 22.2% diperuntukkan untuk membayar subkontraktor untuk projek masa depan, 20.7% untuk jaminan bank ke atas projek, 4.1% untuk pengambilan jurutera dan kakitangan lain, dan baki 6.8% untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Tawaran penjualan saham sedia ada, yang mengaut RM52.67 juta, terakru sepenuhnya kepada Quay Holdings, yang dikawal oleh Boon Hwa dan adik-beradiknya. 

 

Selepas IPO, pegangan langsung Quay akan dicairkan kepada 72.76% daripada 98.34%.

 

Bagi suku ketiga 2024, CBH mencatatkan keuntungan bersih RM8.7 juta daripada hasil RM42.2 juta. Bagi tempoh sembilan bulan, ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM31.1 juta daripada hasil sebanyak RM187.8 juta, mencerminkan margin keuntungan bersih sebanyak 16.5%.

 

Mercury Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO.- DagangNews.com