Sektor digital, pembuatan dan pembinaan bakal pacu ekonomi negara pada 2025 - kajian Randstad | DagangNews Skip to main content

Sektor digital, pembuatan dan pembinaan bakal pacu ekonomi negara pada 2025 - kajian Randstad

Gambar hiasan dari freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Malaysia diyakini mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada 2025, didorong kemajuan dalam sektor ekonomi digital, pembuatan dan pembinaan.

 

Pandangan terkini daripada kajian pasaran pekerjaan 2025 dan laporan trend gaji Randstad Malaysia menggariskan trend peningkatan permintaan profesional mahir yang diperlukan apabila syarikat mengembangkan operasi dan pelaburan dalam negara.

 

Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naheem berkata, permintaan bakat dengan kemahiran khusus semakin meningkat apabila perniagaan berkembang.

 

 

"Kami melihat peningkatan keperluan profesional mahir dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data dan infrastruktur digital.

 

"Selain itu, keperluan profesional bidang integrasi digital terutamanya dalam sektor korporat, termasuk undang-undang, sumber manusia, perkhidmatan kongsi, pemasaran dan perakaunan.

 

"Dengan perkembangan ini, majikan harus meningkatkan jangkaan pengambilan pekerja mereka, terutamanya dalam literasi digital dan ketajaman komersial," katanya.

 

Kajian Randstad Malaysia baru-baru ini melaporkan 59% majikan merancang untuk mengembangkan syarikat mereka pada 2025, manakala 31% akan memberi tumpuan untuk mengekalkan jumlah pekerja semasa mereka.

 

Katanya, 41% majikan menjangkakan aktiviti pengambilan pekerja paling banyak dalam teknologi dan 26% responden merancang untuk melabur dalam pengambilan profesional untuk transformasi digital dan peranan AI.

 

Selain pertumbuhan digital yang memacu pengambilan berkaitan teknologi, 36% majikan menjangkakan pengambilan profesional jualan dan pembangunan perniagaan untuk memacu pertumbuhan hasil.

 

"Laporan kami menunjukkan fungsi korporat tradisional seperti pemasaran dan sumber manusia mengambil lebih banyak tanggungjawab komersial, sama ada untuk mengoptimumkan sumber atau mewujudkan sasaran penjanaan hasil yang lebih jelas.

 

Bagaimanapun, 56% majikan menyatakan kekurangan bakat mahir sebagai cabaran pengambilan pekerja utama mereka.

 

Banyak organisasi juga bergelut dengan jangkaan gaji yang meningkat di tengah-tengah belanjawan yang lebih ketat.

 

Sebagai tindak balas, 52% syarikat di Malaysia merancang untuk meningkatkan belanjawan pengambilan pekerja mereka pada 2025. 

 

"Melihat ke hadapan, majikan berkemungkinan akan menghadapi persaingan yang lebih sengit apabila mengambil bakat terbaik di Malaysia. 

 

"Banyak organisasi berhasrat untuk melabur dalam pembangunan pengambilan dan tenaga kerja bagi meningkatkan produktiviti dan memacu pertumbuhan hasil yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com