KUALA LUMPUR 14 Jan – Selgate Corp Sdn Bhd (Selgate Corp), melalui anak syarikat penjagaan kesihatannya, Selgate Healthcare Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MTT Properties and Development Sdn Bhd (MTT Properties) bagi membina sebuah hospital pakar swasta di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang yang dijangka siap pada 2028, dilengkapi kira-kira 172 katil serta menawarkan 31 kepakaran dalam operasi penjagaan kesihatannya.
Kos pembinaan hospital berkenaan menelan belanja RM130 juta dan ia akan menyediakan akses yang mudah untuk pesakit antarabangsa kerana lokasinya yang strategik iaitu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, Selgate berhasrat untuk menjadi satu daripada pengendali penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia dan pihaknya berusaha menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti yang mampu milik serta mengisi kekosongan di kawasan yang kurang.
"Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang merupakan tambahan penting kepada visi kami untuk menubuhkan lapan hospital di seluruh negara menjelang 2030 dengan dua hospital yang pertama di Rawang dan Sepang, Selangor yang dibuka pada 2023," katanya seperti laporan Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU bersama Pengerusi Kumpulan MTT Properties, Datuk Seri Kenny Ong Kean Lee di sini, semalam.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen.
Nor Hisham berkata, kerjasama itu menekankan komitmen bersama bagi menyediakan penjagaan kesihatan yang luar biasa, sementara MTT Properties akan mengetuai pembangunan dan penyewaan kemudahan.
Dalam pada itu, katanya, Selgate Healthcare turut bersedia memainkan peranan sebagai pengendali hospital bagi memastikan ia menjadi mercu tanda penjagaan dan kecemerlangan.
Menurut beliau, projek tersebut semakin mengukuhkan komitmen Selgate untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan sambil menyumbang kepada status Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan.
Sementara itu, Kean Lee berkata, MTT Properties memperuntukkan 2.02 hektar tanahnya untuk usaha pertama mereka dalam penjagaan kesihatan di Botanica.CT, Balik Pulau.
Jelas beliau, Balik Pulau kini tidak mempunyai hospital pakar swasta dan hanya memiliki Hospital Tentera Balik Pulau untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan tersebut.
"Hospital berkenaan bukan sahaja dapat menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada bandar ini, tetapi juga akan memberikan perkhidmatan kepada Balik Pulau dan komuniti sekitarnya secara keseluruhan," katanya.
Menurutnya, Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang juga akan melengkapkan kemudahan penjagaan warga emas, Eden@Botanica CT, sebuah resort kehidupan warga emas bersepadu pertama di Pulau Pinang.
"Eden@Botanica CT direka untuk menyediakan persekitaran menyeluruh dan menyokong warga emas selain menggabungkan ruang kediaman yang selesa dengan perkhidmatan penjagaan peribadi.
"Kerjasama dengan Selgate Healthcare menandakan satu pencapaian bersejarah ke arah menjadi sebuah bandar yang boleh berdiri sendiri," katanya.
MTT Properties adalah pemaju utama bandar Botanica.CT. - DagangNews.com