KUALA LUMPUR 28 Okt - Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menganjurkan Pertandingan Teater Runcit (PTR) INTEGRITI 2024, satu inisiatif seni bertemakan integriti dan nilai-nilai murni pada 26 dan 27 Oktober lalu.
Bersempena dengan Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) yang diadakan setiap tahun pada bulan November, SBIN tahun ini menjadikan pertandingan teater sebagai salah satu agenda dalam usaha mengangkat isu-isu berkaitan etika, amanah, dan integriti dalam kehidupan seharian.
Bertemakan "Integriti! Integriti! Integriti! Art In-Tegriti," pertandingan teater ini disertai 10 karya terbaik yang dipilih.
Sambutan Bulan Integriti Nasional merupakan inisiatif tahunan IIM, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan nilai-nilai integriti dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pelbagai aktiviti dan program berfokuskan integriti dijalankan sepanjang bulan ini, dengan matlamat memperkukuh budaya integriti dalam setiap sektor masyarakat dan organisasi.
“Pesta Teater Runcit ini bertujuan menggabungkan seni dan integriti, memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian mereka,” kata Fison Hamdi Ahmad, Pengarah Pembangunan Integriti Insan dan Budaya, Institut Integriti Malaysia.
Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Dr. Tan Awang Besar, Rektor ASWARA, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha meningkatkan kesedaran integriti melalui penganjuran seni yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. - DagangNews.com