KUALA LUMPUR 4 Nov - Shell Malaysia Ltd (Shell) bekerjasama dengan Progressture Power Sdn Bhd (Progressture Solar) untuk memasang kapasiti solar sehingga 20 MWp di stesen-stesen runcitnya di seluruh negara dalam usaha mengukuhkan komitmen mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 dan menyediakan penyelesaian tenaga lestari kepada komuniti di Malaysia.
Shell merancang untuk memasang kapasiti solar sehingga 20 MWp di bumbung lebih 600 stesen sebagai sebahagian daripada strategi Powering Progress.
Inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan pelepasan Skop 1 dan 2 sebanyak 50% menjelang 2030, menggunakan tahun 2016 sebagai tahun asas.
Pemasangan solar tersebut dijangka menjana sehingga 25,550 MWh tenaga bersih setahun, setara dengan memenuhi keperluan sehingga 7,392 isi rumah setiap tahun.
Sebagai rakan Net-Zero yang terkemuka, Progressture Solar akan melabur dalam rangkaian runcit Shell melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), memiliki dan mengendalikan sistem fotovoltaik (PV) solar di stesen runcit Shell.
Aset tenaga boleh diperbaharui itu dijangka menyumbang sehingga 19,366 tan pengurangan pelepasan karbon setiap tahun.
Kepakaran Progressture Solar dalam tenaga boleh diperbaharui akan mempercepatkan pengurangan jejak karbon operasi mobiliti Shell.
Pengurus Besar Mobiliti Shell Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming berkata, pihaknya berhasrat menjadi perniagaan tenaga dengan pelepasan karbon sifar menjelang 2050, memberikan nilai bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi juga kepada pelanggan dan masyarakat secara keseluruhan.
"Menjelang akhir 2025, matlamat kami adalah untuk semua stesen runcit Shell di seluruh Malaysia dikuasakan oleh tenaga solar," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, selain daripada matlamat kelestarian Shell, projek itu juga memberi kuasa kepada pengguna untuk mengambil bahagian secara aktif dalam peralihan tenaga hijau di Malaysia.
Lee Ming berkata, setiap kali pelanggan mengecas kenderaan elektrik mereka, mengisi minyak, atau mengambil minuman sejuk di stesen Shell, mereka sedang berinteraksi dengan tenaga boleh diperbaharui.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Progressture Solar, Ng Yew Weng pula menyifatkan, kerjasama dengan Shell menekankan peranan penting yang harus dimainkan oleh tenaga bersih dalam mengurangkan karbon dalam sektor tenaga.
"Dengan menyelaraskan kekuatan kami dan komitmen kepada Net Zero menjelang 2050, kami mengukuhkan piawaian untuk pengurangan karbon dalam industri ini.
"Sebagai penyedia tenaga bersih terkemuka di Malaysia, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Shell dalam menetapkan penanda aras baharu untuk kelestarian dan memajukan peralihan tenaga hijau negara," ujar beliau.
Komitmen Shell tersebut menempatkan syarikat sebagai antara perintis dalam usaha pengurangan karbon negara.
Bersama dengan inisiatif bersepadu di seluruh industri tenaga, transformasi terbabit selaras dengan matlamat iklim Malaysia, termasuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 berbanding tahap 2005. - DagangNews.com