Sin-Kung Logistics sertai perniagaan kargo udara menerusi pembelian Prima Air berharga RM20.7 juta | DagangNews Skip to main content

Sin-Kung Logistics sertai perniagaan kargo udara menerusi pembelian Prima Air berharga RM20.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Sin-Kung Logistics Bhd menandatangani perjanjian bagi memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti dalam firma pemajakan pesawat Prima Air Sdn Bhd, dengan tunai RM20.7 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian penjualan saham itu ditandatangani bersama suami isteri pemilik Prima Air, Tan Sri Halim Mohammad dan Puan Sri Mazmin Noordin.

 

Menurut Sin-Kung Logistics, cadangan pengambilalihan itu menawarkan peluang strategik untuk meluaskan tawaran perkhidmatannya termasuk penyediaan penyewaan jet peribadi serta perkhidmatan kargo pengangkutan udara kepada syarikat penerbangan serta penghantar kargo tempatan dan antarabangsa.

 

Cadangan pengambilalihan itu juga meningkatkan rangkaian perkhidmatannya bagi memasukkan perkhidmatan logistik udara rentas sempadan serta laluan yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

Kumpulan itu berkata, Prima Air bersedia untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan kargo udara dan menyumbang secara positif kepada kumpulan itu.

 

“Memandangkan industri kargo udara dikawal dengan tinggi dengan halangan kemasukan yang tinggi, cadangan pengambilalihan itu tepat pada masanya untuk kumpulan memasuki segmen kargo udara bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat sejajar dengan prospek Prima Air.

 

“Oleh itu, Lembaga pengarah percaya cadangan pengambilalihan itu membolehkan kumpulan mengembangkan aliran pendapatan tambahan dan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan," katanya.

 

Kumpulan itu berhasrat memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Pengarah Urusan kumpulan Alan Ong Lay Wooi, dan telah mengenal pasti Pengarah Eksekutif Prima Air, Hisham Halim dan Azrul Hisham Abdul Wahab yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri penerbangan, untuk menerajui operasi Prima Air.

 

Kumpulan itu juga berhasrat memanfaatkan pengalaman kakitangan pengurusan utama Prima Air yang lain bagi memastikan operasinya disokong dan dijalankan tanpa gangguan.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang akhir 2024. - DagangNews.com