Status tanggungan keluarga, pekerjaan diambil kira sebagai kriteria penyaluran subsidi RON95 | DagangNews Skip to main content

Status tanggungan keluarga, pekerjaan diambil kira sebagai kriteria penyaluran subsidi RON95

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Nov - Status tanggungan dalam keluarga serta pekerjaan individu akan diambil kira sebagai sebahagian daripada petunjuk kos sara hidup dalam memutuskan kriteria penyaluran subsidi RON95 kelak.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, petunjuk itu merangkumi statistik Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) yang dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

"Dalam kajian yang dibangunkan DOSM di mana KPDN turut serta diberi taklimat, indikator kos sara hidup ini akan diambil kira.

 

"Maknanya kalau ada dua kereta, kalau ada dua orang bekerja, isteri dan suami bekerja, anak sekolah yang kecil, yang pergi sekolah, belajar universiti, semua ini termasuk dalam perkiraan indikator kos sara hidup," katanya menjawab soalan tambahan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat pada Isnin.

 

Terdahulu, menjawab soalan asal Azahari berkenaan perancangan kementerian bagi menangani masalah kenaikan harga barang secara langsung meningkatkan inflasi, Fuziah berkata, kerajaan akan meneruskan Program Jualan Rahmah dan Agro Madani untuk jualan murah pada tahun depan.

 

"Kita akan adakan dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Program Jualan Rahmah ini," katanya.

 

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai ketirisan subsidi minyak masak, beliau berkata, kerajaan membanteras secara habisan-habisan tindakan peniaga yang didapati sewenang-wenangnya menggunakan minyak paket subsidi.

 

"Sebanyak 60 juta paket minyak masak subsidi dikeluarkan setiap bulan. Jadi, penguatkuasaan amat penting supaya tidak berlaku ketirisan ke atas barang subsidi terutama minyak masak paket.

 

"Namun tetap ada pihak ambil kesempatan, contohnya mereka gunakan minyak masak subsidi di restoran. Perkara ini akan dibanteras habis-habisan dan ini tugas penguat kuasa kita," katanya. - DagangNews.com