Sumbangan aplikasi Zetrix terus pacu hasil MyEG, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Sumbangan aplikasi Zetrix terus pacu hasil MyEG, kata penganalisis

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Hasil penyedia perkhidmatan elektronik MyEG Services Bhd, dijangka terus dipacu oleh sumbangan daripada aplikasi Zetrix. 

 

MIDF Research menaikkan unjuran pendapatan MyEG pada FY24 hingga FY26 antara 7.1% sehingga 13.4% dengan andaian sumbangan yang lebih tinggi daripada Zetrix, yang juga memberikan margin keuntungan lebih baik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan hasil MYEG bagi 3QFY24 sebanyak RM248.1 juta, disokong oleh sumbangan daripada yuran perkhidmatan aplikasi web3 pada platform blockchain Zetrix, seperti ZTrade, ZCert. 

 

Selain itu, firma itu juga berkata, peningkatan hasil MyEG itu didorong oleh pendaftaran dan transaksi ID Digital, serta sumbangan daripada penjualan token Zetrix.

 

“Seperti yang dijangkakan, pelancaran perkhidmatan platform blockchain Zetrix lebih banyak dan jualan token Zetrix yang lebih tinggi, terus menyokong pertumbuhan hasil kumpulan.

 

“Sementara itu, perkhidmatan e-kerajaan sedia ada berfungsi sebagai asas pendapatan kumpulan itu," katanya.

 

MIDF mengekalkan saranan 'beli' terhadap MyEG, tetapi dengan harga sasaran (TP) lebih rendah kepada RM1.14 daripada RM1.38.   

 

“Kami menurunkan sasaran PER (nisbah harga kepada pendapatan) kepada 11.7 kali ganda, iaitu purata dua tahun, daripada 15.5 kali sebelumnya.

 

"Walaupun Zetrix kini merupakan enjin pertumbuhan utama kumpulan, penawaran perkhidmatan Ztrade bergantung kepada kerajaan," katanya.

 

Dalam nota berasingan, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, projek MyEG yang lain seperti China Digital ID, WorldCoin dan ZTrade menyumbang kira-kira 20% daripada perolehan segmen blockchain pada suku ketiga 2024.

 

Firma itu menjangkakan MyEG menjual satu juta token setiap suku sehingga penghujung separuh pertama FY25, dengan token dijangka dimasukkan dalam pelancaran dana dagangan pertukaran mata wang kripto (ETF) MaiCapital di Hong Kong.

 

Maybank mengekalkan saranan 'beli' ke atas MyEG, dengan TP tidak berubah pada RM1.68. 

 

Sementara itu, BIMB Securities berkata MyEG berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan teknologi blockchainnya bagi memacu pertumbuhan organik, di peringkat domestik dan global.

 

Firma itu juga berkata, penyepaduan Zetrix dengan platform blockchain nasional China, Xing Huo, akan terus meletakkan MyEG untuk pengembangan global, memudahkan perdagangan rentas sempadan yang lancar.

 

BIMB mengekalkan saranan 'beli' dengan TP dinaikkan kepada RM1.44 daripada RM1.34. - DagangNews.com