KUALA LUMPUR 13 Nov - TA Securities memberikan nilai wajar kepada Supreme Consolidated Resources Berhad pada 30 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih sebanyak 20% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 November 2024.
"Oleh itu, kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 11.4x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) bagi 2025.
"Ia adalah selaras dengan purata PER syarikat setanding dalam industri perkhidmatan pengedaran produk makanan dan minuman (F&B)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan lebih 40 tahun pengalaman dalam pengedaran produk makanan, kumpulan itu telah menjalin hubungan yang kukuh dengan pembekalnya, mendapatkan pengedaran eksklusif di Sarawak untuk jenama tempatan dan asing yang bereputasi seperti Australia's Own, Frosty Boy, Divella, Ramly, dan Farmbest.
Katanya, dengan kehadiran pasaran yang kukuh di Sarawak, kumpulan itu dilantik pelbagai pemilik jenama untuk mengedarkan produk mereka di Sarawak dan Sabah.
Selain itu, kumpulan itu telah memperoleh pengedaran eksklusif di Sarawak untuk beberapa jenama, termasuk Devondale, Ramly, Pacific West, Prima Cheese, dan Westgold.
"Kami percaya kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk terus menembusi pasaran Sarawak, memanfaatkan rekod prestasi kukuhnya, skala ekonomi dan rangkaian produk yang luas yang memenuhi pilihan pelanggan yang pelbagai," katanya.
Sementara tu, yang diperoleh daripada IPO akan membolehkan syarikat memenuhi fasa pengembangan perniagaannya seterusnya dengan kumpulan itu memperuntukkan 62.86% daripada hasil untuk membiayai pengembangan kemudahan gudang; 22.86% untuk modal kerja; dan hasil selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Peluasan kemudahan gudang syarikat akan berfungsi sebagai pusat pengedaran tambahan dan dijangka memenuhi keperluan pengembangan produk Supreme Consolidated.
Ia merangkumi kawasan pergudangan baharu, kemudahan penyimpanan sejuk (bilik penyejuk beku dan penyejuk), pejabat, pemunggahan dan ruang pemunggahan.
Kenanga Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO.- DagangNews.com