TCS raih kontrak RM116.58 juta daripada SP Setia Bhd, bina 561 unit rumah mampu milik Setia Bayuemas | DagangNews Skip to main content

TCS raih kontrak RM116.58 juta daripada SP Setia Bhd, bina 561 unit rumah mampu milik Setia Bayuemas

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - TCS Group Holdings Bhd, melalui anak milik syarikat penuhnya,  TCS Construction Sdn Bhd (TCSCSB) meraih kontrak RM116.58 juta daripada anak syarikat SP Setia Bhd, I&P Kota Bayuemas Sdn Bhd.

 

Penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan dan infrastruktur itu berkata, kontrak tersebut melibatkan cadangan bangunan dan infrastruktur berkaitan bagi 561 unit rumah mampu milik projek Setia Bayuemas.

 

Setia Bayuemas ialah pembangunan bercampur pegangan bebas seluas 545 hektar yang terletak di Klang, Selangor.

 

Pengarah Urusan TCS, Datuk Tee Chai Seng berkata kontrak dari SP Setia itu membuktikan rekod prestasinya yang menekankan penyampaian projek, menyiapkan projek tepat pada masanya dan mengutamakan kesihatan serta keselamatan di tempat kerja.

 

“Dengan kemenangan kontrak ini, ia meningkatkan lagi buku pesanan kami dan memberikan kami keterlihatan pendapatan yang jelas. 

 

“ Tinjauan keseluruhan sektor pembinaan pada masa ini lebih menggalakkan kerana harga bahan mentah barangan telah stabil.

 

“Selain itu, pelancaran projek daripada sektor awam dan swasta semakin meningkat, yang memberi petanda baik untuk industri pembinaan, termasuk TCS.

 

“Kami berharap untuk berkongsi lebih projek menarik bersama para pemegang saham kami pada bulan-bulan akan datang,” tambah Dato’ Ir Tee lagi.

 

Tempoh kontrak 28 bulan itu bermula dari Oktober 2024 dengan jangkaan siap menjelang Februari 2027.- DagangNews.com