Tawaran awam permulaan Crest mencatat lebihan langganan 73.88 kali | DagangNews Skip to main content

Tawaran awam permulaan Crest mencatat lebihan langganan 73.88 kali

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 30 Sept - Crest Group Bhd menerima sambutan memberangsangkan terhadap tawaran awam permulaan (IPO) dalam langkahnya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd, dengan bahagian awam terlebih langgan sebanyak 73.88 kali.

 

IPO itu melibatkan jumlah penawaran sebanyak 234.59 juta saham biasa, terdiri daripada 130.70 juta saham baharu dan 103.89 juta saham sedia ada, berharga 35 sen sesaham.

 

Terbitan awam termasuk 43.28 juta saham untuk permohonan awam Malaysia, yang menyaksikan 33,826 permohonan untuk 3.24 bilion saham, mencerminkan permintaan yang tinggi.

 

Bahagian bumiputera tawaran awam terlebih langgan sebanyak 53.41 kali, manakala bahagian bukan Bumiputera menyaksikan kadar lebihan langganan sebanyak 94.35 kali.

 

Selain itu, saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja, serta penempatan persendirian, telah dilanggan sepenuhnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Crest yang bakal disenarai di Pasaran ACE mahu bertapak di China, Vietnam

 

MIDF Amanah Investment Bank Bhd, bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan, mengesahkan bahawa semua saham penempatan persendirian kepada bumiputera dan pelabur terpilih telah diambil sepenuhnya.

 

Notis peruntukan akan dihantar kepada pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 8 Oktober 2024. - DagangNews.com