Tiada rundingan semula kadar air mentah dengan Singapura buat masa ini, kata kementerian | DagangNews Skip to main content

Tiada rundingan semula kadar air mentah dengan Singapura buat masa ini, kata kementerian

Johor kini bergantung kepada Singapura untuk purata 16 juta gelen air terawat setiap hari.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 2 Dis - Johor dan Putrajaya memutuskan, tiada rundingan semula akan dilakukan berhubung semakan kadar air mentah yang dibekalkan kepada Singapura buat masa ini, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

 

Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Nasir berkata, keputusan itu dicapai susulan perbincangan pada Oktober 2024 antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kementeriannya.

 

"Perbincangan memutuskan, semakan kadar air mentah tidak perlu dirundingkan pada masa ini," katanya di Dewan Rakyat sebagai jawapan kepada soalan dari Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), di sini hari ini.

 

Hassan bertanya sama ada kerajaan berhasrat berbincang dengan Singapura bagi kajian semula Perjanjian Sungai Johor 1962.

 

Ketika ini, Singapura membeli air mentah dari Johor pada kadar tiga sen setiap 1,000 gelen, sementara republik itu menjual balik air terawat kepada Johor pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.

 

Pada 2018, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penetapan harga tersebut sebagai tidak masuk akal dan menyeru rundingan semula perjanjian.

 

Tahun lalu, bekas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan berhasrat mengkaji semula perjanjian berkenaan disebabkan oleh isu-isu tertentu.

 

Akmal berkata, berdasarkan data dari Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), Johor kini bergantung kepada Singapura untuk purata 16 juta gelen air terawat setiap hari, jauh melebihi lima juta gelen yang ditetapkan.

 

Ini menyebabkan Johor menanggung kos tambahan kira-kira RM180,000 setahun.

 

Bagi menangani kebergantungan itu, beliau berkata, Johor dalam proses melaksanakan Kebergantungan Sifar, mensasarkan mencapai bekalan air mandiri menjelang 2030.

 

Jelas beliau, projek utama di bawah inisiatif tersebut termasuk pembinaan loji rawatan air seperti Loji Layang 2 dan Semanggar 3, serta peningkatan infrastruktur sepanjang sungai seperti Sungai Lebak dan Sungai Sedili Besar.

 

Namun, Akmal berkata, hasrat untuk mencapai perkara berkenaan mungkin mencabar disebabkan oleh pertumbuhan pesat sektor industri seperti pusat data dan semikonduktor di Johor.

 

"Oleh itu, bekalan air terawat dari Singapura masih diperlukan untuk memenuhi keperluan air Johor," jelasnya.

 

Menjawab soalan tambahan dari Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin), Akmal berkata, Johor mendapat manfaat daripada perjanjian itu kerana kos membeli air terawat dari Singapura adalah lebih rendah berbanding penghasilannya secara tempatan.

 

"Kos purata untuk merawat jumlah air yang setara setiap hari adalah RM1.80, jadi terdapat manfaat timbal balik, kerana kita hanya membayar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen untuk air terawat dari Singapura," katanya. - DagangNews.com