TM dijangka jadi penerima manfaat utama penggunaan 5G, perkembangan industri pusat data | DagangNews Skip to main content

TM dijangka jadi penerima manfaat utama penggunaan 5G, perkembangan industri pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka menjadi antara penerima manfaat utama penggunaan 5G serta perkembangan industri pusat data di negara ini.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, kumpulan itu akan menerima manfaat besar kerana syarikat awan dan internet utama juga akan menuntut ketersambungan darat yang lebih besar serta rangkaian kabel bawah laut global.

 

Katanya, dalam perlumbaan untuk menjadi hab digital terkemuka untuk rantau ini, pihaknya menjangkakan lebih banyak infrastruktur baharu (iaitu pusat data, pusat pertukaran internet, stesen pendaratan kabel dan kabel gentian optik) dibangunkan di Malaysia untuk menampung beban IT yang semakin berkembang pada masa hadapan.

 

"Kami masih belum mengambil kira sebarang sumbangan pendapatan daripada kerjasamanya dengan Singtel untuk membina pusat data medan hijau di Johor, kerana kami hanya menjangkakan projek ini akan bertambah baik selepas FY26.

 

"Walaupun pelantikan pengendali rangkaian 5G kedua telah dibuat, kami percaya masih ada peranan yang perlu dimainkan oleh TM dalam menyokong ekosistem 5G (iaitu pemajakan gentiannya) dan oleh itu, berkemungkinan akan menjadi penerima pelan pelancaran 5G daripada pengendali rangkaian kedua," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM8.80 sesaham.

 

Sementara itu, Kenanga Research menyukai TM kerana kumpulan itu memanfaatkan pertumbuhan data seperti transformasi digital, percambahan Internet Kebendaan (IoT), perkhidmatan awan yang dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI) generatif dan sebagainya. 

 

Pada masa sama, kumpulan itu juga mendapat manfaat daripada pelaksanaan Rangkaian Digital Nasional (Jendela) Fasa 2 selain pertambahan pendapatan daripada pembangunan pusat data hiperskala baharu dan permintaan lebih tinggi untuk penghantaran data melalui rangkaian infrastruktur digital yang merangkumi kabel dasar laut global dan gentian optik.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk tekanan harga daripada segmen runcit yang timbul daripada arahan yang diterajui dasar dan persaingan tidak rasional dalam ruang jalur lebar gentian runcit," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran RM7.53 sesaham.- DagangNews.com