TM percaya rangkaian 5G kedua tingkatkan pertumbuhan hasil syarikat, kata CGSI Research | DagangNews Skip to main content

TM percaya rangkaian 5G kedua tingkatkan pertumbuhan hasil syarikat, kata CGSI Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Jan – Telekom Malaysia Bhd (TM) menjangkakan pelaksanaan rangkaian 5G kedua di negara ini akan menyumbang kepada pertumbuhan hasil syarikat, menurut CGS International Research (CGSI Research).

 

Menurut firma itu, hasil data bukan runcit TM untuk tahun kewangan 2023 (FY23) dan FY26 akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 7%, disokong oleh peningkatan sambungan stesen pangkalan 5G serta pendigitalan yang lebih meluas dalam ekonomi Malaysia.

 

"Mengenai prospek pengembangan perniagaan pusat data, pengurusan TM menyatakan bahawa mereka akan meneroka peluang di rantau ini, tetapi hanya dengan rakan kongsi yang dipercayai untuk mengehadkan risiko," menurut firma itu lagi.

 

CGSI berkata, pihak pengurusan mengesahkan bahawa bilangan pelanggan jalur lebar runcit TM kembali kepada trajektori pertumbuhan positif pada separuh kedua tahun lalu selepas separuh pertama yang agak perlahan, berikutan kempen pemasaran yang lebih agresif.

 

Katanya, terdapat juga momentum positif dalam perniagaan perusahaan TM One apabila beberapa projek yang telah diumumkan sebelum ini mula memberi pulangan.

 

Dalam segmen borong TM Global, permintaan daripada pencari akses jalur lebar borong serta permintaan untuk penyambungan gentian stesen pangkalan mudah alih terus menunjukkan momentum positif.

 

"Pengurusan TM turut mengulangi panduan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) syarikat bagi tahun 2024 sebanyak RM2.1 bilion hingga RM2.2 bilion," jelasnya.

 

CGSI Research berkata, walaupun pihak pengurusan TM memberikan panduan EBIT antara RM2.1 bilion dan RM2.2 bilion, ia meramalkan EBIT TM untuk FY24 akan mencapai RM2.4 bilion berdasarkan prestasi yang telah dicapai dalam sembilan bulan pertama 2024.

 

Mengulangi cadangan 'tambah' terhadap TM, firma penyelidikan itu bagaimanapun menekankan beberapa risiko negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada prestasi TM, antaranya campur tangan kerajaan yang lebih besar dalam peraturan untuk tujuan sosial dan peningkatan persaingan dalam penyediaan gentian borong. - DagangNews.com