KUALA LUMPUR 7 Nov - TMK Chemical Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bersempena tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat tahun ini.
IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 220.0 juta saham biasa baharu bersamaan dengan 22% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
Tawaran sehingga 190 juta saham mewakili sehingga 19% saham terbitan yang diperbesarkan, akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih manakala tawaran runcit sebanyak 30 juta saham mewakili 3% daripada modal saham yang diperbesarkan.
Sejumlah 10 juta saham akan dikhaskan untuk para pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan 20 juta saham akan dikhaskan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia melalui pengundian.
Baki 10.0 juta saham akan diketepikan untuk permohonan oleh warga Bumiputera, syarikat, koperasi, pertubuhan dan institusi.
Pengarah Urusan, Wong Kin Wah berkata, pencapaian itu menandakan peluang yang menarik untuk pertumbuhan mereka.
"Kami berharap dapat membina hubungan yang kukuh dan berkekalan dengan pemegang saham baharu dan bekerjasama untuk mencapai visi TMK," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan kimia menyeluruh terdiri daripada penyumberan, pemprosesan dan pengedaran bahan kimia bukan organik, bersama-sama dengan menawarkan perkhidmatan nilai tambah.
"Mereka juga menyediakan perkhidmatan terminal kimia dan mengeluarkan bahan kimia bukan organik. Kumpulan TMK mengendalikan 15 kemudahan di seluruh Malaysia, Singapura dan Vietnam selain memiliki serta mengendalikan dua terminal di Malaysia untuk penyediaan perkhidmatan terminal kimia, serta kilang pembuatan di Banting, Selangor," katanya. - DagangNews.com