Ultimate Print dan firma milik Turki, Darphane bekerjasama teroka percetakan keselamatan tinggi  | DagangNews Skip to main content

Ultimate Print dan firma milik Turki, Darphane bekerjasama teroka percetakan keselamatan tinggi 

(Berdiri dari kiri) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Duta Turki ke Malaysia Emir Salim Yuksel, Pegarah Darphane, Abdullah Yasir Sahin dan Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print Sdn Bhd, Azizi Fickry.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Ultimate Print Sdn Bhd melabur sebanyak RM60 juta dan RM80 juta melalui kerjasama strategiknya bersama dengan firma milik negara Turki, Darphane untuk meneroka peluang dalam percetakan keselamatan tinggi termasuk pengeluaran kad pengenalan kebangsaan (IC) dan pasport.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print, Azizi Fickry berkata, pelaburan dalam ciri keselamatan yang dipilih oleh kerajaan itu akan digunakan untuk menubuhkan kilang percetakan serta memperoleh teknologi canggih bagi projek itu.

 

"Kami sedang mencari percetakan dokumen keselamatan bernilai tinggi seperti cetakan IC nasional dan pasport. Rakyat Malaysia boleh mengharapkan pasport dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan pada harga yang lebih berpatutan.

 

“Kami telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta hingga RM80 juta dalam usaha baharu ini berikutan perbincangan dengan Darphane,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di sini hari ini.

 

Ultimate Print merupakan pemain industri utama dalam percetakan dokumen keselamatan sejak 2014 dan menyediakan perkhidmatan kepada agensi kerajaan seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Melalui kerjasama tersebut, syarikat itu merancang mengembangkan keupayaannya untuk mengintegrasikan wang kertas, setem cukai, e-visa dan dokumen keselamatan tinggi yang lain.

 

Dengan pengalaman luas Darphane, ia akan berkongsi pengetahuan teknologinya dengan Ultimate Print.                          

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

 

Timbalan Jeneral Darphane, Mehmet Hekim berkata, perkongsian itu sejajar dengan visinya untuk mengembangkan jejak globalnya dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor teknologi percetakan.

 

"Jangkaan kami adalah untuk memulakan pengeluaran bersama. Pada mulanya, sebahagian daripada pengeluaran akan berlaku di Darphane, dengan kebanyakan pengeluaran berlangsung di Ultimate Print.

 

"Dalam tempoh dua tahun, kami menjangkakan Ultimate Print akan mencapai keupayaan pengeluaran penuh, sepadan dengan piawaian Darphane dan menjadi pengeluaran percetakan keselamatan yang berdikari," katanya.- DagangNews.com