Unifi Business, TNG Digital bergabung ubah pengalaman e-dompet PMKS elak penipuan pembayaran | DagangNews Skip to main content

Unifi Business, TNG Digital bergabung ubah pengalaman e-dompet PMKS elak penipuan pembayaran

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Nov - Unifi Business dan TNG Digital mengumumkan kerjasama strategik untuk mempercepatkan penggunaan 5G dan mengubah pengalaman e-dompet untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia menerusi penawaran pakej Pascabayar UNI5G Biz dan Touch ‘n Go eWallet Soundbox kepada lebih satu juta PMKS di seluruh negara dan boleh didapati melalui media dalam aplikasi dan Unifi Stores.

 

Sebagai rakan niaga digital pilihan untuk PMKS, Unifi Business akan menyampaikan sambungan 5G berkelajuan tinggi. 

 

Pelan Pascabayar UNI5G Biz berserta peranti berdaya 5G, ditambah dengan Touch ‘n Go e-dompet Soundbox, akan menawarkan keupayaan 5G dan perkhidmatan e-dompet terbesar Malaysia kepada perniagaan, menambah baik kecekapan operasi dan interaksi bersama pelanggan. 

 

Tawaran bersama itu juga mencerminkan aspirasi TM menjadi kuasa besar digital menjelang 2030, mengangkat PMKS dalam ekonomi digital. 

 

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai oleh Pengurus Besar Penumpuan Mudah Alih Tetap Unifi, Kelvin Lee dan Ketua Bahagian Kesetiaan & Perhubungan TNG Digital, Emilio Sta Maria di Unifi Store Setapak. 

 

Ia disaksikan oleh Naib Presiden Unifi Business, Mohamad Yusman Ammeran dan Ketua Perkhidmatan Perniagaan TNG Digital, Freddie Lee.


 
Ketua Pegawai Komersial Unifi untuk Strategi dan Perniagaan Segmen Pengguna, Shanti Jusnita Johari berkata, sebagai rakan kongsi digital pilihan PMKS di seluruh negara, Unifi Business memperkasakan mereka dengan penyelesaian ketersambungan dan digital.  

 

Katanya, integrasi UNI5G Biz dan eWallet Soundbox TNG Digital menyediakan himpunan mudah alih 5G dan e-dompet terbaik dalam pasaran, menawarkan pembayaran digital dan mobiliti yang lancar untuk pengalaman pelanggan yang lebih baik. 

 

"Selain pembayaran digital, UNI5G Biz memperkasakan penawaran digital kami, daripada pemasaran digital kepada storan awan, hab e-dagang dan keselamatan siber. 

 

Unifi Business juga diperakui untuk menyediakan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan, membolehkan rumusan ini diakses oleh PMKS dari segenap lapisan. Melalui ketersambungan kami di seluruh negara, perunding bertauliah dan sokongan premium, Unifi Business terus mengangkat PMKS dalam ekonomi digital negara," katanya dalam satu kenyataan.


 
eWallet Soundbox Touch 'n Go adalah alat keperluan di mana peniaga menerima makluman suara apabila pelanggan membuat pembayaran, memastikan operasi yang lebih lancar dan keselamatan tambahan daripada penipuan pembayaran.  

 

Dengan penyepaduan rumusan UNI5G Unifi Business, Soundbox kini menawarkan perkhidmatan yang lebih mudah dan sambungan terjamin, membolehkan perniagaan yang lebih lancar dari mana-mana lokasi, pada bila-bila masa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan operasi perniagaan para pelanggan dengan memperkasakan perniagaan melalui penyelesaian tanpa tunai yang lancar, selamat dan boleh dipercayai. 

 

"Dengan menyepadukan keupayaan UNI5G ke dalam Touch 'n Go eWallet Soundbox kami, kami bukan sahaja meningkatkan cara peniaga mengurus transaksi mereka, tetapi juga mengukuhkan komitmen kami untuk memacu inovasi dan keterangkuman kewangan. 

 

"Kerjasama ini memastikan pelanggan kami, termasuk PMKS mempunyai akses kepada alatan dan ketersambungan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi digital, sambil melindungi mereka daripada penipuan pembayaran," ujarnya. - DagangNews.com