KUALA LUMPUR 8 Nov - Untung bersih P.I.E. Industrial Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) menyusut 56.65% kepada RM8.83 juta berbanding RM20.38 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan permintaan lemah daripada pelanggan untuk aktiviti pembuatan elektronik.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu juga menyusut kepada RM244.5 juta berbanding RM300.79 juta pada 3QFY23.
"Penyusutan itu disebabkan hasil lebih rendah daripada aktiviti EMS, kerugian tukaran wang asing akibat pengukuhan ringgit terutama semasa September 2024 dengan kadar pertukaran berubah daripada daripada 4.7145 kepada 4.1075 selain perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi.
"Bagaimanapun, keadaan itu diimbangi oleh pendapatan lebih baik daripada pelaburan lain," katanya.
Bagi tempoh Sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), untung bersih kumpulan itu menyusut kepada RM35.84 juta berbanding RM46.09 juta dengan hasil mereka juga susut kepada RM723.91 juta berbanding RM919.76 juta pada 9MFY23.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu sedang menjalani rasionalisasi untuk mengurangkan pesanan daripada pelanggan margin yang lebih rendah untuk menempah kapasiti dan sumber untuk pelanggan yang lebih tinggi.
Kumpulan itu juga melibatkan pelanggan baharu yang khusus dalam pelayan dan suis.
"Bagi menampung pelanggan baharu, keseluruhan Kilanh 6 seluas 280,000 kaki persegi sedang di bawah pengubahsuaian dan pembesaran besar-besaran untuk menyokong kapasiti pengeluaran.
"Kilang 6 dijangka siap pada 4QFY24 untuk audit pelanggan dan kelayakan dan pengeluaran besar-besaran dijangka bermula pada tahun kewangan 2025 (FY25) selepas kelayakan penuh.
"Kumpulan sedang dalam perbincangan aktif dan optimis untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan baharu dalam masa terdekat dalam pelbagai industri automotif, robotik, perubatan dan telekomunikasi," katanya. - DagangNews.com