SUNGKAI 8 Nov - FGV Holdings Bhd akan memanfaatkan asas pelanggan sedia ada untuk mengekspot produk minyak isirung sawit mentah (CPKO) ke Eropah menjelang akhir 2024.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata, ini adalah kali pertama syarikat berusaha untuk memasarkan produk CPKO secara tidak langsung ke Eropah.
Beliau memberitahu, FGV telah menjalin kerjasama dengan pelanggannya bagi memastikan semua dokumentasi yang diperlukan selaras dengan standard yang ditetapkan oleh Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk memasuki pasaran Eropah.
Nurul Hasanah berkata, pembeli merancang untuk mengeksport produk akhir yang mengandungi CPKO yang dibeli dari FGV ke Eropah pada bulan November atau Disember 2024.
"CPKO yang dibawa oleh pembeli kami akan diproses menjadi produk lain yang akan mereka eksport ke Eropah. Oleh itu, ia tidak dieksport secara langsung oleh FGV," katanya kepada pemberita di sidang media program A Journey Through Sustainability with FGV, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, walaupun Kesatuan Eropah (EU) belum melaksanakan EUDR, FGV telah mendapatkan pihak bebas untuk melakukan pengesahan berdasarkan keperluan yang mematuhi standard EUDR.
"Oleh itu, dari segi dokumentasi, FGV dan pembeli akan bekerjasama rapat untuk memastikan semua dokumentasi selaras dengan larangan EUDR.
"Ia juga melibatkan sebuah majlis perundangan untuk memastikan kami memahami undang-undang dengan betul dan apa yang diperlukan," jelasnya.
Nurul Hasanah bagaimanapun memaklumkan, belum ada pengesahan sama ada dokumentasi tersebut mematuhi standard EU memandangkan EUDR belum dikuat kuasakan.
Pada Ogos 2024, syarikat tersebut mencapai pengeluaran pertama CPKO yang memenuhi standard EUDR.
Beliau juga menyatakan harapan syarikat agar larangan import yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) terhadap FGV akan ditarik tidak lama lagi.
Dengan perubahan kepimpinan di Amerika Syarikat, Nurul Hasanah menyatakan harapan agar eksekutif CBP akan kekal neutral dalam pengambilan keputusan mereka.
"Petisyen kami dihantar pada Jun 2024 dan sejak itu, kami telah menjalankan perbincangan berterusan dengan CBP ketika mereka mengkajinya, menjawab soalan-soalan mereka.
"Jika anda bertanya mengenai garis masa, saya tidak dapat memberikan butiran kerana CBP terus mengajukan soalan tambahan sehingga hari ini," ujarnya.
Pada 30 September 2020, CBP mengeluarkan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV berdasarkan maklumat yang menunjukkan penggunaan buruh paksa. - DagangNews.com