Universiti Heriot-Watt Malaysia, InvestKL meterai perjanjian tingkatkan kebolehpasaran graduan tempatan dan pertumbuhan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Universiti Heriot-Watt Malaysia, InvestKL meterai perjanjian tingkatkan kebolehpasaran graduan tempatan dan pertumbuhan ekonomi

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Nov - Universiti Heriot-Watt Malaysia dan Invest KL Corporation (InvestKL) pada Rabu menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperingati kerjasama dengan Program Bakat InvestKL, sebuah inisiatif strategik yang bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan dan memacu pembangunan ekonomi Malaysia.

 

Kerjasama itu dibuat ketika Malaysia berusaha meningkatkan tenaga kerja berkemahiran kepada 35 peratus menjelang 2030 dan merapatkan jurang antara akademik dan permintaan industri, sejajar dengan visi kerajaan untuk pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Provost Universiti Heriot-Watt Malaysia, Profesor Mushtak Al-Atabi, menekankan kepentingan kerjasama itu yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang penting untuk pasaran tempatan dan global.

 

"Dengan menggabungkan kepakaran akademik kami dan rangkaian industri InvestKL, kami sedang memupuk persekitaran yang menghasilkan graduan tempatan yang bersedia untuk industri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Program Bakat InvestKL memfokuskan kepada pembangunan kemahiran lembut yang penting, kebolehan kepimpinan dan keupayaan pengurusan yang diperlukan oleh syarikat multinasional (MNC). 

 

Pelajar akan berinteraksi secara langsung dengan rangkaian MNC global InvestKL, memperoleh pandangan praktikal dan peluang yang melangkaui pembelajaran dalam kelas tradisional.

 

Ketua Pegawai Eksekutif di InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata, kerjasama tersebut mencerminkan sinergi antara akademik dan industri dalam memenuhi keperluan bakat Malaysia.

 

"Kami bukan sahaja menyediakan pelajar untuk pekerjaan, kami juga membentuk pemimpin masa depan yang akan memacu peralihan Malaysia," ujarnya.

 

Program itu dijangka memberi impak yang signifikan terhadap kebolehpasaran graduan. 

 

Dengan kadar pekerjaan graduan baru-baru ini di Malaysia berada pada 85 peratus, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kuantiti dan kualiti peluang pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi.

 

Objektif jangka panjang kerjasama terbabit termasuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat perkhidmatan moden serantau, menarik pelaburan langsung asing yang lebih tinggi, menjalankan aktiviti termaju dan mencipta saluran bakat yang kukuh untuk memenuhi permintaan yang berkembang daripada syarikat tempatan dan multinasional.

 

Kerjasama antara universiti dan InvestKL itu menandakan langkah penting dalam perjalanan Malaysia menuju ekonomi berasaskan pengetahuan. - DagangNews.com