Untung bersih AmBank meningkat 18% kepada RM1 bilion pada 1HFY25 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih AmBank meningkat 18% kepada RM1 bilion pada 1HFY25

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Untung bersih AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) bagi separuh pertama berakhir 30 September 2024 (1HFY25) meningkat 18% kepada RM1 bilion berbanding RM848.15 juta bagi tempoh sama tahun lalu dengan hasil meningkat kepada RM2.41 bilion berbanding RM2.33 bilion pada 1HFY24. 

 

Kumpulan itu berkata, bagi suku kedua berakhir 30 September 2024 (2QFY25), untung bersih mereka meningkat kepada RM500.57juta, lebih tinggi berbanding RM469.78 juta pada suku sama tahun lalu.

 

"Perolehan sesaham kumpulan itu meningkat kepada 15.14 sen berbanding 14.2 sen sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1.23 bilion daripada RM1.12 bilion pada 2QFY23.

 

"Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10.3 sen sesaham, dengan tarikh akhir 12 Disember dan perlu dibayar pada 30 Disember 2024," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya, pendapatan faedah bersih (NII) kumpulan meningkat 6.5% tahun ke tahun kepada RM1.76 bilion didorong pengembangan margin faedah bersih (NIM), 14 mata asas kepada 1.93% dan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan.

 

Pendapatan bukan faedah adalah 3.9% lebih rendah tahun ke tahun kepada RM644.9 juta disebabkan oleh keuntungan pelupusan AmGen yang tidak berulang sebanyak RM51.1 juta dan keuntungan dagangan yang lebih rendah daripada perbendaharaan kumpulan dan pasaran.

 

Perbelanjaan keseluruhan meningkat 5% tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion manakala kos kepada pendapatan meningkat sedikit kepada 43.6% daripada 43%.

 

Sementara itu, jumlah pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan kekal mendatar tahun setakat ini pada RM134.5 bilion dan jumlah deposit pelanggan turun 4.3% tahun ke hari kepada RM136.3 bilion apabila kumpulan itu menguruskan kos dananya.

 

Deposit masa kekal tidak berubah pada RM90.2 bilion manakala akaun simpanan akaun semasa (CASA) susut 12.7% tahun-setakat ini kepada RM46.1bilion dan campuran Casa merosot kepada 33.8% daripada 37.1% pada FY24.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Jamie Ling berkata, pihaknya gembira dengan kemajuan kumpulan pada separuh pertama. 

 

Beliau berkata, pengembangan NIM selanjutnya mendorong pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan pihaknya menanggung caj rosot nilai bersih yang jauh lebih rendah untuk tempoh tersebut. 

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman dalam segmen fokus adalah kukuh dan pulangan keseluruhan ekuiti melebihi 10%.

 

"Kedudukan modal kami semakin kukuh dengan peningkatan keuntungan sebanyak RM1 bilion daripada penggunaan FIRB pada suku ini.

 

"Kami berbesar hati untuk mengisytiharkan kenaikan 71.7% dalam dividen interim untuk 1HFY25," katanya. - DagangNews.com