Untung I-Bhd bagi 9MFY24 meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM27 juta | DagangNews Skip to main content

Untung I-Bhd bagi 9MFY24 meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM27 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Nov - Keuntungan I-Bhd bagi tempoh sembilan bulan berakhir September 2024 meningkat kepada RM27 juta iaitu 2.7 kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

 

Pertumbuhan keuntungan sebelum cukai yang kukuh ini didorong oleh segmen rekreasi dan hospitaliti, yang mencatatkan lonjakan prestasi dengan keuntungan sebelum cukai bagi sembilan bulan pertama iaitu sebanyak RM14.6 juta, berbanding RM1.8 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Segmen pelaburan hartanah kumpulan juga mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, dengan keuntungan sebelum cukai dalam sembilan bulan pertama 2024 meningkat sebanyak 81% kepada RM10.48 juta, berbanding RM5.78 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.

 

Peningkatan positif ini sebahagiannya disebabkan oleh prestasi di Hotel DoubleTree by Hilton i-City yang lebih baik dan pertambahan pengunjung ke taman tema di i-City, selepas pembukaan tarikan baharu sepanjang tahun lalu.

 

Pengerusinya, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, kumpulan akan terus menyaksikan momentum pertumbuhan yang berterusan pada masa hadapan.

 

"Kumpulan telah mengkaji semula strategi pelaburan hartanah sejak cabaran pandemik beberapa tahun lalu dan hasil sembilan bulan lalu adalah bukti kejayaan usaha strategik kami untuk memperbaharui diri dalam era pasca pandemik.

 

lim
Tan Sri Lim Kim Hong

 

"Peningkatan prestasi yang ketara ini dapat dikaitkan dengan pendekatan inovatif I-Bhd untuk memperoleh nilai daripada tanah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pada peringkat awal pembangunan i-City, kumpulan itu telah mengintegrasikan teknologi digital untuk meningkatkan nilai pembangunan dengan membangunkan portfolio rekreasi serta pelaburan hartanah.

 

"Kami berharap untuk mewujudkan aliran pendapatan berulang yang kukuh untuk I-Bhd dan kami percaya ini akan memberikan I-Bhd tawaran pelaburan hartanah yang unik.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam segmen rekreasi dan hospitaliti dan akan terus meletakkan Wyndham Suites KLCC sebagai peneraju dalam ruang 'Family Playcation', yang menawarkan suite hotel mewah dua bilik dengan pengalaman beriadah, menginap dan makan yang unik bertaraf lima bintang," katanya.

 

Kumpulan juga menantikan pelancaran WynSports yang berkeluasan 24,500 kaki persegi di Wyndham Suites KLCC untuk meningkatkan tawaran permainan hotel itu dan akan menjadi ruang permainan hotel pertama dalam rangkaian Wyndham Global dan ruang permainan hotel terbesar di Malaysia.

 

Selain itu, pelancaran SkyCity pada Disember 2024 yang menampilkan gelongsor kaca sepanjang 600 meter dan menara ikonik setinggi 60 meter dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke i-City serta meningkatkan minat pelabur hartanah terhadap projek pembangunan hartanah itu. - DagangNews.com