Winstar Capital lancar prospektus IPO Pasaran ACE, sasar kumpul RM25.88 juta bagi kembangkan kapasiti pengeluaran | DagangNews Skip to main content

Winstar Capital lancar prospektus IPO Pasaran ACE, sasar kumpul RM25.88 juta bagi kembangkan kapasiti pengeluaran

(Dari kiri) Ketua Pegawai Pemasaran Winstar Capital Bhd Khoo Nee Cheng, Ketua Pegawai Operasi Winstar Capital Bhd, Lee Yong Zhi, Naib Pengerusi Winstar Capital Bhd, Chua Nyok Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Winstar Capital Bhd, Vincent Chua Boon Hong, Pengarah Eksekutif Sunview Group Bhd, Ong Hang Ping dan Pengarah Eksekutif Sunview Group Bhd, Chow Kian Hung
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Nov - Pengeluar produk aluminium, Winstar Capital Bhd melancarkan prospektus sempena tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menerusi IPO itu, Winstar Capital menyasar untuk mengumpul sehingga RM25.88 juta untuk membeli mesin dan peralatan baharu bagi mengembangkan kapasiti pengeluarannya.

 

Menurut prospektusnya, IPO yang berharga 35 sen sesaham, melibatkan terbitan 56.55 juta saham baharu dan tawaran penjualan 17.4 juta saham sedia ada.

 

Ini secara kolektif akan menawarkan 25.5% kepentingan selepas penyenaraian syarikat.

 

Hasil kasar daripada terbitan awam sebanyak RM19.79 juta akan digunakan oleh kumpulan terutamanya untuk pengembangan syarikat.

 

Selebihnya, akan disalurkan kepada pemegang saham jualan, termasuk Pengerusi Eksekutif Winstar, Chua Nyok Chong dan Ketua Pegawai Eksekutif, Chua Boon Hong.

 

Permohonan IPO ditutup pada 3 Disember 2024, dengan penampilan sulung Winstar dijadualkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 Disember 2024.

 

Pakar fabrikasi tangga aluminium dan struktur pelekap solar fotovoltaik (PV) itu disokong firma tenaga boleh diperbaharui (RE), Sunview Group Bhd dengan yang memegang 30% saham Winstar melalui anak syarikat milik penuhnya, Vafe System Sdn Bhd. 

 

Berikutan IPO itu, pegangan Sunview dalam Winstar akan dicairkan kepada 24.15%.

 

Pada harga IPO 35 sen sesaham, Winstar Capital akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM101.5 juta, berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 290 juta saham. 

 

Ini menilai syarikat pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali ganda pendapatan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Di bawah IPO, Winstar akan menawarkan 14.5 juta saham baharu kepada orang ramai, 15.95 juta saham kepada orang yang layak, dan 26.1 juta saham kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Syarikat itu memperuntukkan hampir separuh daripada hasil terbitan awam, RM9.55 juta untuk perbelanjaan modal bagi pembelian mesin  baharu dan peralatan berkaitan.

 

Baki RM6.24 juta daripada dana itu akan diperuntukkan untuk keperluan modal kerja dan baki RM4 juta untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Pegangan saham Nyok Chong akan dikurangkan kepada 26.02% daripada 36.18% selepas menjual hampir sembilan juta saham di bawah tawaran untuk jualan, manakala saham Boon Hong akan dikurangkan kepada 8.63% selepas IPO, daripada 12%.

 

Selepas IPO, pegangan saham pengarah Lee Yong Zhi juga akan dikurangkan kepada 8.47% manakala pegangan ketua pegawai pemasaran Khoo Nee Cheng akan dikurangkan kepada 7.23%.

 

TA Securities Holdings Bhd ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO. Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan.- DagangNews.com