KUALA LUMPUR 12 Nov - Winstar Capital Berhad (Winstar) menandatangani perjanjian taja jamin bersama TA Securities bagi menerbitkan sejumlah 30.45 juta saham baharu.
TA Securities adalah penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk tawaran awam permulaan (IPO) syarikat dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).
Winstar menyasarkan untuk menyenaraikan keseluruhan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 290 juta saham biasa di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang suku keempat 2024.
Winstar adalah syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam pengeluaran profil aluminium dan pembuatan tangga aluminium, pemasangan struktur solar PV aluminium dan aksesori berkaitan, perdagangan dan pengedaran bahan binaan serta penyediaan perkhidmatan pemasangan sistem solar PV.
IPO Winstar melibatkan tawaran awam sebanyak 73.95 juta saham biasa yang terdiri daripada penerbitan awam sebanyak 56.55 juta saham baharu dan tawaran jualan 17.40 juta saham sedia ada, yang secara kolektif mewakili 25.5% daripada modal saham terbitan kumpulan itu yang diperbesarkan sebanyak 290 juta saham biasa.
Daripada 56.55 juta saham baharu, 14.50 juta daripadanya akan tersedia untuk permohonan oleh orang ramai di Malaysia dan 15.95 juta lagi untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan berkenaan.
Sebanyak 26.10 juta saham baharu yang selebihnya akan diperuntukkan untuk pelabur persendirian, manakala terdapat juga tawaran jualan 17.40 juta saham sedia ada yang akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Winstar, Vincent Chua Boon Hong, berkata, penandatanganan perjanjian penjaminan dengan TA Securities mengukuhkan keyakinan syarikat terbabit terhadap pihaknya.
"Ini berlaku pada waktu yang tepat kerana kami bersedia mengambil peluang daripada pelbagai dinamik dalam industri tenaga boleh diperbaharui, pembinaan dan pembangunan hartanah di Malaysia.
"Portfolio pelanggan kami yang pelbagai merangkumi syarikat pembinaan, pemaju hartanah, pengeluar produk aluminium dan pemborong hingga kepada syarikat reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) dalam industri solar PV di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, pada masa ini, Winstar mempunyai kapasiti pengeluaran untuk menghasilkan sehingga 6,705 tan profil aluminium setiap tahun.
"Dengan pembiayaan baharu yang dijangka diperoleh daripada pelaksanaan IPO, kami merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk membeli empat barisan pengeluaran aluminium tambahan dengan kapasiti gabungan 8,580 tan setahun yang akan dipasang di kilang baru kami yang terletak di Ijok, Selangor.
"Empat barisan pengeluaran aluminium baharu ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran operasi Winstar dari 6,705 tan setahun kepada 15,285 tan setahun," tambahnya.
Boon Hong berkata, pihaknya juga telah menceburi perdagangan bahan dan aksesori berkaitan solar serta penyediaan perkhidmatan pemasangan sistem solar PV melalui satu daripada anak syarikat kumpulan, iaitu Winstar Solar Sdn Bhd.
Pengarah Eksekutif Operasi, TA Securities, Tah Heong Beng pula menyifatkan, beliau berbangga menjadi sebahagian daripada penyenaraian Winstar di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
"Perjanjian penjaminan ini lebih memperkukuhkan komitmen TA Securities untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan Winstar dan mewakili satu pencapaian penting bagi Winstar ketika ia bergerak lebih dekat untuk menjadi syarikat awam di Malaysia.
"Kumpulan ini mempunyai kelebihan kompetitif dan kehadiran pasaran dalam industri aluminium, terutamanya berkaitan dengan pengeluaran profil aluminium berkualiti tinggi dan struktur pemasangan solar PV aluminium yang dibuat khas," katanya. - DagangNews.com