Yayasan Forest Interactive dan Yayasan Axiata umum pemenang Cabaran Inovasi Green Sprout: Merintis Penyelesaian Pertanian Bandar | DagangNews Skip to main content

Yayasan Forest Interactive dan Yayasan Axiata umum pemenang Cabaran Inovasi Green Sprout: Merintis Penyelesaian Pertanian Bandar

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 21 Nov - Yayasan Forest Interactive dengan kerjasama Yayasan Axiata   mengumumkan barisan pemenang Cabaran Inovasi Green Sprout, satu inisiatif utama di bawah Program Pendidikan Alam Sekitar 3 September 2024.

 

Pemenang pertandingan ini yang terdiri daripada murid sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun, menampilkan penyelesaian inovatif dan praktikal dalam bidang pertanian bandar yang bermatlamat untuk meningkatkan keterjaminan makanan dan menggalakkan amalan lestari.

 

Program Pendidikan Alam Sekitar

Dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk kesedaran dan penjagaan alam sekitar, Program Pendidikan Alam Sekitar ini, iaitu perluasan daripda perkongsian tahun lalu, merangkumi dua inisiatif utama: Kelompok kedua Green Bean dan kelompok sulung Green Sprout.

 

Program Pendidikan Alam Sekitar untuk setiap lapan sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia disusun selama tiga hari untuk Green Bean dan dipadatkan kepada dua hari untuk Green Sprout setiap minggu di sekolah masing-masing yang menjangkau sehingga bulan Julai untuk pengalaman praktikal bagi mengukuhkan tanggungjawab alam sekitar.

 

Inisiatif pendidikan ini bermatlamat untuk memperkasakan generasi muda Malaysia dengan pengetahuan mengenai kelestarian dan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta pada masa yang sama melengkapkan mereka dengan alat digital moden.

 

 

sprout
Pasukan Forest Interactive Foundation

 

 

Menggabungkan platform inovatif seperti pengekodan, teknologi Microbit dan banyak lagi, program berkenaan memupuk kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam konteks alam sekitar.

 

Gambaran Keseluruhan Cabaran Inovasi Green Sprout

Cabaran Inovasi Green Sprout menangani keperluan mendesak terhadap penyelesaian kemampanan makanan dalam persekitaran bandar. Peserta ditugaskan untuk menghasilkan reka bentuk sistem pertanian inovatif khusus untuk ruang kecil di bandar seperti kondominium dan pangsapuri.

 

Objektif utama adalah untuk mewujudkan sistem bagi membantu keluarga melakukan penanaman bagi menghasilkan makanan mereka sendiri, justeru meningkatkan keterjaminan makanan dan mengurangkan perbelanjaan runcit.

 

Seiringan dengan tumpuan cabaran terhadap kemampanan, semua cadangan penyelesaian adalah mesra bajet, mesra pengguna dan diperbuat daripada bahan yang boleh dikitar semula.

 

Penekanan ini memastikan bahawa penyelesaian adalah praktikal dan  bertanggungjawab terhadap alam sekitar, sekali gus membolehkannya mudah diakses oleh khalayak ramai.

 

Format pertandingan tersebut meliputi elemen teori dan praktikal. Setiap pasukan membentangkan projek mereka dalam format 15 minit yang dibahagikan kepada dua segmen.

 

Segmen pertama ialah pembentangan selama 5 minit, diikuti dengan demonstrasi prototaip mereka selama 5 minit yang mana peserta menunjukkan fungsi dan keberkesanannya. Segmen terakhir merupakan sesi soal jawab selama 5 minit dengan panel hakim yang membolehkan pasukan menjawab soalan dan memberikan pandangan lebih mandalam mengenai projek mereka.

 

Format ini bukan hanya mengetengahkan kreativiti dan kemahiran teknikal peserta malah ia juga menguji kebolehan mereka untuk menyampaikan idea mereka dengan berkesan.

 

 

sprout
Tiga pasukan terbaik mempamerkan projek mereka di Pesta #mydigitalmaker, yang dianjurkan oleh MDEC

 

 

Johary Mustapha, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Forest Interactive, berkata,, “Program Pendidikan Alam Sekitar yang menjadi kemuncak dalam Cabaran Inovasi Green Sprout ini mewakili komitmen kami untuk memupuk bakat muda dan mempromosikan kelestarian alam sekitar. Penyelesaian inovatif yang diketengahkan oleh pelajar ini menekankan dedikasi mereka untuk mencipta penyelesaian alam sekitar yang berkesan dan praktikal.”

 

Panel hakim termasuk Mohd Farid Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Elvira Systems, Prof. Madya Dr. Zaleha Kassim, Profesor Madya di PIanetary Sustainability Institute for Sustainable Well-being, Universiti Islam Antarabangsa dan Faizul Anuar, Pengurus K-12, Pembangunan Bakat Digital MDEC, menilai projek berkenaan berdasarkan kreativiti, penggunaan secara praktikal dan kemampanan.

 

Pemenang Cabaran Inovasi Green Sprout

 

sprout
  1. SK Bukit Piatu
  • Nama Projek: My Home Farmer
  • Ringkasan: Sistem akuaponik yang menggabungkan akuakultur (pembiakan ikan) dan hidoponik.
  • Hadiah Wang Tunai: RM3,000

 

 

sprout

       2. SK Desa Cempaka

  • Nama Projek: Akuaponik Mesra Alam
  • Ringkasan: Sistem akuaponik yang menyepadukan akuakultur dan hidroponik. Sisa ikan dan air digunakan sebagai nutrien untuk tumbuhan.
  • Hadiah Wang Tunai: RM2,000

 

sprout

 

3. SK Cheras Jaya

  • Nama Projek: Mobifarm
  • Ringkasan: Sistem mudah alih yang menggabungkan hidroponik dan akuakultur dengan pemantauan secara automotik menggunakan teknologi Microbit.
  • Hadiah Wang Tunai: RM1,000

 

 

Mohamad Kamal Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, berkata, “Kami berbangga dapat memberi sokongan kepada Cabaran Inovasi Green Sprout ini dan menyaksikan kreativiti dan semangat anak muda Malaysia. Inisiatif ini seiring dengan misi kami untuk memupuk penjagaan alam sekitar dan memperkasakan golongan pencipta muda dalam usaha menyumbang kepada masa hadapan yang mampan.”

 

Tiga pasukan utama mempamerkan projek mereka di #mydigitalmaker Fair yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia  (MDEC), mulai 13-15 September 2024, di Pusat Konvensyen  Kuala Lumpur (KLCC).

 

“Cabaran Inovasi Green Sprout bukan sahaja menyerlahkan kebijaksanaan luar biasa golongan muda Malaysia tetapi juga mencerminkan komitmen yang kian berkembang terhadap kehidupan mampan dalam komuniti,” menurut Nisa Saharuddin, Pengurus Program dan Jangkauan Masyarakat Yayasan Forest Interactive, “Menangani isu dunia sebenar dengan penyelesaian yang praktikal, cabaran ini memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan pertanian bandar dan tanggungjawab alam sekitar.

 

Yayasan Forest Interactive dan Yayasan Axiata berharap untuk meneruskan kerjasama mereka dan menyokong inisiatif yang memacu perubahan positif dan memupuk masa hadapan yang lebih hijau dan lebih mampan untuk semua. - DagangNews.com